Lima influencer media sosial tempatan telah dihadapkan ke dua mahkamah majistret berasingan di Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan mempromosikan perjudian dalam talian atau ‘judi online’ di pelbagai platform bulan lalu.
Menurut laporan NST, tertuduh adalah Aileen Koh Ooi Leng, Hayatunnuffus Zakariya, Nurul Syifa Aliya Adanan, Nurazalina Mustafa, dan Noor Shahnez Marzuani.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Koh dituduh mempromosikan perjudian dalam talian di sebuah restoran di Sentul pada sekitar jam 8.23 pagi pada 13 Jun lalu.
Beliau didakwa di bawah Seksyen 8(1) Akta Rumah Perjudian Biasa yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM200,000 dan penjara maksimum lima tahun.
Bagi Hayatunnuffus dan Noor Shahnez, mereka dituduh mengumumkan atau menerbitkan dengan mempromosikan platform perjudian dalam talian di akaun Instagram mereka untuk menarik atau memperdaya orang lain berjudi di rumah perjudian biasa.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 9 pagi dan 9.30 pagi di dua restoran di Bandar Tun Razak dan Taman Maluri, Cheras pada hari yang sama.
Nurul Syifa dan Nurazalina pula didakwa mempromosikan platform perjudian dalam talian seperti Winbox.World, KK8, We1Win, dan Lucky365 di akaun Instagram yang dikendalikan oleh mereka menggunakan iPhone 11 Pro Max dan iPhone 13 Pro.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada jam 7 pagi dan 7.30 pagi di Unit Pencegahan Perjudian Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di Wangsa Maju pada hari yang sama.
Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1)(g) akta yang sama yang membawa hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.
Mereka juga menghadapi denda antara RM5,000 hingga RM50,000 bagi setiap mesin perjudian yang dirampas.
NST turut melaporkan bahawa kesemua lima influencer media sosial tersebut mengaku tidak bersalah atas tuduhan yang dikenakan.