Malaysia akan kembali ke pentas berprestij FIM MiniGP World Series Final 2023 Di Valencia, Sepanyol minggu hadapan dengan gandingan lima pelumba FIM MiniGP Malaysia Series untuk menjulang nama negara di pentas kejuaraan motosikal dunia.

Malaysia bakal diwakili oleh Farish Hafiy, Emil Idzhar dan Adi Putra yang akan menggantikan Farres Putra setelah mengalami kecederaan semasa perlumbaan Asia Talent Cup minggu lepas bagi kategori 190cc.

Baca Juga:

Manakala dalam kategori 160cc pula, Qabil Irfan dan Airel Marzuki akan bertanding di litar Ricardo Tormo dan ia bakal menentukan siapakah akan bergelar juara dunia bagi FIM MiniGP World Series anjuran Dorna, promoter kejuaraan MotoGP.

Kejuaraan yang dijadualkan bermula pada 21 November dengan latihan bebas dan bersaing menggunakan jentera Ohvale, sesi kelayakan akan diadakan pada 22 November sebelum perlumbaan berlangsung pada keesokan harinya untuk menobatkan juara dunia musim 2023 bagi kedua-dua kelas 190cc dan 160cc.

Dari kiri: Farres Putra, Farish Hafiy & Emil Idzhar (Kategori 190cc)

Bersaing dalam kelas 190cc yang diperkenalkan untuk musim 2023, ini adalah kunjungan kedua ke World Finals buat Farish Hafiy, Emil Idzhar dan Adi Putra yang pernah bersaing dalam kategori 160cc sebelum ini.

Manakala bagi Qabil Irfan yang berusia 11 tahun menjadi sandaran utama negara untuk saingan kelas 160cc pada tahun ini, juga kembali untuk kali kedua selepas prestasi memberangsangkan tahun lepas dengan menempatkan diri di tempat keempat keseluruhan.

Bagi pelumba Airel Marzuki, ini merupakan kejuaraan kali pertama peringkat dunia selepas memenangi tiket untuk kejuaraan dunia yang menghimpunkan pelumba terbaik dari kejuaraan siri MiniGP dari Alpe Adria, Australia, Austria, Kanada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Malaysia, Portugal, Qatar, Sepanyol, Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Mengulas penyertaan negara pada FIM MiniGP World Series Final tahun ini, pengurus pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata kelima-lima pelumba bakal bersaing dengan berbekalkan persiapan rapi dan pengalaman lebih mendalam bagi memastikan keputusan yang membanggakan tahun ini.

Qabil Irfan dan Airel Marzuki dalam kategori 160cc

“Tahun ini adalah tahun ketiga kita menyertai FIM MiniGP World Series Finals di Valencia. Tiga orang pelumba akan mewakili Malaysia di kategori 190cc, dan dua orang pelumba akan menyertai 160cc.”

“Kategori 190cc adalah kategori yang baru diperkenalkan tahun ini, jadi, kita tidak tahu siapa pesaing kita yang kuat di sana.”

“Untuk pelumba kita, tentunya pengalaman bersaing di Asia Talent Cup sedikit sebanyak akan membantu mereka untuk berlumba dalam kategori 190cc tersebut.”

“Untuk kategori 160cc pula, tentunya Qabil Irfan beraksi cemerlang pada tahun lepas, tetapi tahun ini kita perlu ‘manage expectation’ kita.”

“Kita telah melihat beberapa aspek yang perlu diperbaiki berbanding tahun lepas, dan saya harap kita dapat mulakan sesi latihan dengan bagus dan menamatkan perlumbaan pada Khamis depan dengan kedudukan yang lebih baik dari tahun lepas.”

“Secara keseluruhan, untuk tahun ketiga ini kita lebih bersedia dari aspek pelumba, juga jangkaan kita, dan dengan siapa yang kita akan berlumba.”

“Jadi, saya harap pasukan Malaysia pada tahun ini akan beraksi dengan cemerlang di kedua-dua kategori iaitu 160cc dan 190cc,” tambah Zulfahmi menurut kenyataan dikeluarkan ZK Racing.