Pelumba harapan negara, Qabil Irfan Azlan mencipta sensasi di Valencia, Sepanyol apabila muncul juara dunia FIM MiniGP World Series Final 2023 kategori 160cc, semalam.

Anak kelahiran Terengganu tersebut mempamerkan tunggangan kemas dan cukup bertenaga untuk mendominasi perlumbaan 1, 2 dan Super Final yang berlangsung di Litar Kart Ricardo Tarmo itu.

Baca Juga:

Qabil nyata menjadi pertaruhan terbaik untuk merebut kejuaraan berikutan pengalaman pelumba berusia 11 tahun itu kembali untuk kali kedua selepas prestasi memberangsangkan tahun lepas dengan menempatkan diri di tempat keempat keseluruhan.

Ia nyata merupakan perkembangan yang cukup memberangsangkan dikecapi oleh Qabil.

“Syukur Alhamdulillah saya dapat ke final dan minggu ini agak mencabar bagi saya bermula dari sesi latihan hingga ke perlumbaan sebenar.’’

Qabil Irfan
Qabil bersama seluruh kem ZK Racing. Kredit. Foto: Zulfahmi Khairuddin

“(Kemudiannya) dapat bergelar juara dan saya nak ucapkan terima kasih kepada ZK Racing team dan emak, ayah saya yang selalu memberikan sokongan.’’

“Tidak lupa juga kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Litar Antarabangsa Sepang (SIC),’’ ujar Qabil Irfan Azlan menurut sumber Harian Metro.

FIM MiniGP World Series Final adalah perlumbaan anjuran Dorna yang merupakan promoter kejuaraan MotoGP.

Perlumbaan ini menghimpunkan pelumba terbaik dari kejuaraan siri MiniGP dari Alpe Adria, Australia, Austria, Kanada, Perancis, Jerman, India, Indonesia, Ireland, Itali, Jepun, Malaysia, Portugal, Qatar, Sepanyol, Amerika Syarikat dan United Kingdom.