Pelumba motosikal cilik negara, Qabil Irfan Azlan bakal menyertai Kejuaraan Spanish Superbike (ESBK) dalam kategori Moto4 bersama pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing untuk musim penuh bagi tahun 2024.

Kategori Moto4 tersebut merangkumi pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dan akan bersaing di litar-litar di Sepanyol dan Portugal. Moto4 adalah motosikal ‘fullframe’ berkuasa 150cc, rim 17 inci.

Baca Juga:

Menurut kenyataan dikeluarkan ZK Racing, Qabil akan berlepas ke Sepanyol pada Ahad ini (10 Mac) bersama ayahnya, Azlan untuk mengikuti ujian pra-musim pada 16 & 17 Mac di Litar Jerez.

Mereka akan terus kekal di sana sehingga pusingan pertama yang berlangsung di Circuito de Jerez pada 6 dan 7 April.

Difahamkan, Kejuaraan ESBK ini akan diadakan sepanjang tujuh  pusingan. Qabil juga akan turut serta dalam FIM MiniGP Malaysia Series kategori 190cc pada tahun ini.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Qabil telah mencuri tumpuan dunia pada 23 November tahun lalu apabila muncul juara dunia FIM MiniGP World Series Final 2023 kategori 160cc.

Anak kelahiran Terengganu tersebut mempamerkan tunggangan kemas dan cukup bertenaga untuk mendominasi perlumbaan 1, 2 dan Super Final yang berlangsung di Litar Kart Ricardo Tarmo itu.

Berikut adalah jadual perlumbaan ESBK Tahun 2024:

Ujian Pra-Musim:  16 & 17 Mac (Litar Jerez, Sepanyol)
Pusingan 1:  6 & 7 April (Litar Jerez, Sepanyol)
Pusingan 2:  1 & 2 Jun (Litar Valencia, Sepanyol)
Pusingan 3:  6 & 7 Julai (Litar Estoril, Portugal)
Pusingan 4:  27 & 28 Julai (Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol)
Pusingan 5:  31 Ogos & 1 September (Litar Estoril, Portugal)
Pusingan 6: 26 & 27 Oktober (Litar Navarra, Sepanyol)
Pusingan 7: 2 & 3 November (Litar Jerez, Sepanyol)