Sering dikenali sebagai penyampai radio, bekas penyampai radio Era FM dan Suria FM, Linda Onn dilaporkan sanggup berbelanja lebih RM10,000 dalam membina konti radio beliau sendiri di rumah yang dinamakan sebagai Onns FM.

Menurut Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, perbelanjaan tersebut terdiri daripada peralatan wajib untuk bersiaran di TikTok dan 100 peratus penyediaannya dilakukan sendiri.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

“Dulu pergi (konti), semua sudah siap, cuma perlu tolak suis saja. Bila buat sendiri, terus-terang yang tak pandai bidang ini, susah. Untuk misalnya jurutera bunyi, perkara ini ‘kacang’.

“Tapi saya boleh kata saya bangga dengan pencapaian ini walaupun tak boleh ‘setup’ 100 peratus alat-alatan hebat. Daripada segi kos, kamera, pencahayaan, monitor, wifi memang sudah ada.

“Yang saya keluar duit untuk switcher sekitar RM8,000, mixer lebih RM1,000, serta kena beli kabel, wayar dan lampu,” katanya.

Menurut Linda, idea itu tercetus kerana perasaannya membuak-buak mahu kembali berinteraksi bersama pendengar secara ‘live’.

“Terlalu banyak platform yang boleh hubungkan penyampai kepada pendengar atau penonton. Media sosial pula keluar macam-macam contoh podcast. Saya pun nak jadikan Onns FM sebagai radio putar lagu, podcast dan jual barang.

“Saya juga akan jemput rakan-rakan lain seperti Kudsia Kahar, Halim Othman, Tyzo, sekiranya ada topik yang menarik untuk dikupas,” katanya.

Linda juga ada hasrat untuk memperluas capaian Onns FM ke platform selain TikTok. Setakat ini, para pendengar berpeluang mendengar Onns FM menerusi TikTok pada setiap jam 5 petang dan ke atas.

“Ikutkan peralatan saya ada sekarang, boleh ‘live’ terus kepada dua atau tiga platform serentak. Tapi sebabkan buat sendiri, sayalah penerbit, jurukamera, teknikal, muzik eksekutif, pengarah, penyampai, buat masa ini siar di TikTok dululah,” katanya.

Mengulas mengenai peluang untuk menjadi penyampai radio semula, beliau akui sememangnya sukar untuk ditolak. Malah, beliau dimaklumkan segmen Petang Di Era bersama Halim, Hanif dan Ray baru-baru ini berjaya menjadi nombor satu.

Hal ini membuatkan beliau semangat untuk kembali untuk berinteraksi bersama para pendengar. Walau bagaimanapun, beliau redha mengenai rezeki beliau mengenai tawaran untuk menjadi penyampai radio.