Selepas 9 tahun ditutup, Litar Pasir Gudang atau Litar Johor (Johor Circuit) akan dibangunkan semula dengan kerjasama syarikat pengeluar petroleum nasional, Petronas.
Portal Flash Sukan melaporkan Prinsipal Pasukan JDT Racing Team, Steven Tan mengesahkan kerjasama itu bukan sahaja melibatkan jentera perlumbaan tetapi akan menjadi penajaan di skala yang lebih besar.
Baca Juga:
- SIC Kini Dikenali Sebagai Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang
- Harapan Peminat Berkecai, PETRONAS Nafi Dakwaan Penganjuran Semula F1 Di Malaysia
“Memang benar saya sudah membawa Petronas (pada 27 Mac 2024) untuk menghadap Pemangku Sultan Johor dan semuanya baik serta pihak kami sedang dalam proses melengkapkan kertas kerja untuk mendapatkan kelulusan daripada ahli lembaga pengarah mereka.
“Mereka berminat untuk menaja dan menjalin kerjasama dengan JDT Racing Team dan mereka juga kini sedar nilai pasukan ini terutama selepas melihat penglibatan Tunku Ismail secara langsung dalam projek ini yang boleh saya gambarkan sebagai impak jenama Tunku dan JDT itu sendiri,” katanya.
Tambah beliau, kerjasama tersebut turut melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang yang bakal menjadi hab permotoran serta pencarian bakat menerusi akademi JDT Racing Team.
JDT Racing Team yang dikendalikan pelumba, Hafizh Syahrin Abdullah berjaya membuat penampilan positif ketika debut di Kejohanan Asia Road Racing Championship 2024.
Pelumba profesional itu berjaya meraih podium dalam perlumbaan sulung bulan lalu di Thailand.
“Kerjasama ini turut akan melibatkan pembangunan semula Litar Pasir Gudang dan juga akademi permotoran JDT sekali gus bakal melihat Tunku Mahkota Ismail sekali lagi mencipta sejarah kali ini dalam sukan permotoran dua roda pula,” jelas Steven Tan.
Jika kerjasama tersebut mencapai kata sepakat, ini merupakan kali kedua penglibatan Petronas dalam fasiliti sukan permotoran selepas penjenamaan semula Litar Antarabangsa Sepang menjadi Litar Antarabangsa Petronas Sepang pada Oktober 2023 lalu.
Litar Pasir Gudang memiliki jarak sejauh 3.86 kilometer dengan 12 selekor. Litar tersebut dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar yang pada ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-8.
Litar tersebut pernah menjadi hos bagi kejohanan Grand Prix Motosikal Malaysia pada tahun 1998.
Kejuaraan Cub Prix Malaysia menjadi acara terakhir dianjurkan di litar tersebut sebelum ditutup untuk pengubahsuaian sepenuhnya pada tahun 2015.
Kemas Kini
Menerusi satu hantaran Instagram YAM Tengku Temenggong Johor (TTJ), Tunku Idris Iskandar Ismail Abdul Rahman Ibni Sultan Ibrahim menafikan laporan kerjasama bersama Petronas.
Tambah TTJ lagi, baginda mahu selesaikan pembangunan semula Litar Pasir Gudang dengan tenang dibawah bimbingan KDYMM Seri Paduka Baginda YDPA, Sultan Ibrahim dan DYAM Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail serta kerajaan Johor.