Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menegaskan bahawa aplikasi navigasi TuJu dibangunkan khusus untuk meningkatkan perkhidmatan dan keselamatan pengguna di lebuh raya bertol, bukannya bertujuan untuk menyaingi aplikasi popular, Waze.
Pengerusi LLM, Datuk Seri Hasni Mohammad, menjelaskan kekeliruan itu timbul susulan gesaan kerajaan agar rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi tempatan berkenaan atas faktor keselamatan data negara.
“Ia bukan aplikasi navigasi seperti Waze. Kerjasama kami hanyalah bertujuan untuk menambah baik Pusat Pengurusan Trafik kami,” katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual di sini.
Menurut Hasni, TuJu diwujudkan sebagai perkhidmatan sokongan bagi menyediakan maklumat masa nyata mengenai status trafik, kawasan rehat dan rawat (R&R), lokasi kamera penguatkuasaan serta talian kecemasan di sepanjang jajaran lebuh raya bertol.
“TuJu memang bertindak sebagai aplikasi navigasi, tetapi skala dan keupayaannya dibangunkan khusus untuk pengguna lebuh raya bertol.
“Sekiranya anda memandu dari Ayer Keroh ke Seremban, aplikasi ini dapat memaklumkan keadaan lalu lintas sepanjang laluan, susur keluar, kawasan rehat dan kemudahan lain,” katanya sambil menambah bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah mengarahkannya untuk menaik taraf aplikasi tersebut.
Isu peralihan ke TuJu mula hangat apabila Anwar pada 20 Oktober menggesa pengguna beralih daripada Waze berikutan kebimbangan keselamatan siber dan data pergerakan pengguna memandangkan asal-usul Waze yang berpangkalan di Israel.
Langkah itu disusuli arahan mengehadkan penggunaan Waze dalam kalangan penjawat awam, sekali gus mengundang tumpuan umum terhadap keupayaan TuJu.
Bagaimanapun, lonjakan muat turun mendedahkan pelbagai masalah teknikal dan kelemahan fungsi peta, sehingga Anwar sendiri pada 23 Oktober mengakui aplikasi itu masih belum sempurna.
Memetik MalaysiaKini lagi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri Digital Gobind Singh Deo kemudiannya turut menjelaskan bahawa penggunaan TuJu tidak diwajibkan dan orang ramai masih bebas menggunakan aplikasi navigasi lain seperti Google Maps.
Mengulas skop liputan, Hasni menegaskan bidang kuasa LLM terhad kepada lebuh raya bertol, dan sebarang peluasan ke jalan persekutuan atau jalan bandaran bergantung kepada pembiayaan serta kemampuan teknologi pada masa hadapan.
“Mungkin 10 atau 15 tahun dari sekarang, kita boleh perluas ke jalan persekutuan, jalan perbandaran dan jalan kampung. Namun buat masa ini, fokus kita kekal pada lebuh raya bertol,” jelasnya.
Dalam pada itu, Hasni turut menyuarakan kebimbangan berhubung sesi taklimat LLM kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mengaitkan TuJu dengan isu keselamatan negara yang lebih luas, berbanding fokus asal LLM terhadap keselamatan fizikal jalan raya dan bantuan kecemasan.
“Sekiranya taklimat yang diberikan LLM kepada MKN mengelirukan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku. Jika benar ia berlaku, saya fikir itu bukan sesuatu yang woleh dipandang ringan,” katanya yang tidak hadir pada sesi taklimat 20 Oktober itu namun telah meneliti minit mesyuarat terbabit.
Beliau menyatakan kesediaan LLM untuk memberi penjelasan rasmi sekiranya diminta oleh Kabinet, susulan arahan menteri agar pihak agensi dan pembangun aplikasi, Prosignal Consortium Sdn Bhd, memperincikan punca gangguan teknikal berkenaan.
Menyentuh pelantikan Prosignal yang dikaitkan dengan bekas pengerusi LLM, Datuk Abdul Rashid Asari, Hasni mempertahankan bahawa projek berkenaan diputuskan secara kolektif oleh ahli lembaga pengarah LLM dan bukannya keputusan unilateral.
Beliau turut menjelaskan ketiadaan tender terbuka wajar kerana projek tersebut dibiayai sepenuhnya oleh pihak swasta tanpa melibatkan dana kerajaan.
“TuJu dibiayai oleh pelabur projek, sama ada menerusi dana dalaman atau pinjaman. Oleh itu, jika ada yang bertanya mengapa ia tidak dibuat melalui tender terbuka, jawapannya adalah kerana tiada dana kerajaan terlibat.
“Selain itu, LLM sentiasa mematuhi peraturan kewangan yang ditetapkan,” katanya.
Perjanjian awal memorandum persefahaman (MoU) bagi inisiatif Lebuhraya Pintar tersebut dimeterai bersama Prosignal pada Mei 2022 sewaktu era kepimpinan Rashid, disusuli perjanjian lanjutan pada hujung tahun lalu bagi menambah baik fungsi perkhidmatan aplikasi berkenaan.