Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengambil maklum berhubung gangguan teknikal yang dialami oleh aplikasi navigasi lebuh raya, TuJu.
Gangguan tersebut berlaku susulan peningkatan ketara jumlah pengguna selepas saranan YAB Perdana Menteri agar orang ramai mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan.
Pihak LLM memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi oleh para pengguna.
Bagi mengatasi masalah ini, LLM bekerjasama rapat dengan penyedia aplikasi, Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), untuk mengenal pasti punca gangguan, memulihkan kestabilan sistem, serta meningkatkan keupayaan aplikasi dalam menampung pertambahan pengguna yang mendadak.
Menurut satu kenyataan media, pihak mereka turut memberi perhatian terhadap pelbagai maklum balas yang diterima berhubung fungsi navigasi, ketepatan maklumat laluan, dan pengalaman pengguna.
“Penambahbaikan akan terus dilaksanakan bagi memastikan TuJu dapat memberikan perkhidmatan yang lebih stabil, tepat, dan mesra pengguna,” kata kenyataan itu.
Pihak LLM turut menegaskan komitmen mereka dalam memastikan mutu perkhidmatan berada pada tahap terbaik.
“LLM memahami bahawa kepercayaan pengguna perlu dibina melalui mutu perkhidmatan yang boleh diharapkan. Sehubungan dengan itu, usaha memperkukuh TuJu bukan sahaja tertumpu kepada kestabilan sistem, malah merangkumi peningkatan fungsi navigasi, ketepatan maklumat, dan keupayaan aplikasi dalam memenuhi keperluan pengguna,” jelas LLM.
Aplikasi TuJu mula diperkenalkan pada 26 November 2025 dan dibangunkan oleh PCSB dengan kerjasama LLM. Selain menyediakan maklumat perjalanan, aplikasi ini dilengkapi kemudahan maklumat keadaan trafik, fasiliti lebuh raya, serta bantuan kecemasan bagi menyokong keperluan pengguna sepanjang perjalanan.
Selaras dengan keutamaan kerajaan untuk memperkukuh keselamatan siber dan kedaulatan digital negara, LLM akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), dan pihak berkaitan.
Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh ekosistem navigasi tempatan, termasuk aspek keselamatan dan tadbir urus data yang diberikan perhatian khusus.