Pada malam Isnin lalu, sebahagian tapak perniagaan Uptown Kota Damansara terbakar sehingga memusnahkan beberapa buah khemah perniagaan.

Menerusi satu laporan terbaharu, 20 khemah perniagaan yang musnah dalam kebakaran di Uptown Kota Damansara di sini Isnin lalu, didakwa menjalankan operasi tanpa kebenaran pihak berkuasa dan pemilik tanah.

Baca Juga:

Pengurus Infra Alfa Sdn Bhd Shareen Farzida Sukri berkata, pemilik premis dalam insiden tersebut juga bukan di bawah kendalian syarikatnya, namun hanya 380 peniaga berdaftar beroperasi di premis kekal.

“20 khemah perniagaan yang terbakar bukan beroperasi di atas tanah di bawah selian kami, sebelum ini pernah juga berlaku kejadian kecurian elektrik, jadi pihak kami hanya mampu memberi amaran supaya peniaga tidak membekalkan punca tenaga eletrik kepada mereka” katanya kepada Buletin TV3.

Tambah beliau, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama pemilik gimnasium yang turut terjejas dalam masa terdekat, bertujuan menyelesaikan isu berhubung perkara berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, pihaknya telah berbincang dengan Kerajaan Negeri supaya mempertimbang untuk menyalurkan bantuan bagi kelangsungan peniaga terbabit.

“Saya telah berbincang bersama Kerajaan Negeri mungkin untuk kita bantu para peniaga yang terjejas supaya sekurang-kurangnya mereka dapat kembali beroperasi, daripada pemerhatian saya mungkin kena ada semakan semula sebab ia melibatkan pendawaian elektrik.

“Oleh itu dalam beberapa hari ni saya sarankan untuk mereka tidak berniaga sehingga mendapat kebenaran daripada pihak bomba,” katanya.

Beliau turut berharap insiden itu menjadi peringatan supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemeriksaan dengan lebih tegas terhadap sebarang pengoperasian yang tidak menepati ciri keselamatan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata siasatan awal mendapati insiden kebakaran tersebut berpunca daripada masalah pendawaian.

Pada masa sama, kawasan tersebut penuh dengan bahan mudah terbakar menyebabkan api merebak dengan pantas.

Kejadian yang dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam itu telah memusnahkan 20 khemah tidak kekal serta sebuah premis kekal yang beroperasi sebagai gimnasium.

Sumber