Legenda Portugal, Luis Figo, menggesa Presiden FIFA, Gianni Infantino meletakkan jawatan serta-merta susulan kontroversi rancangan menjual pegangan komersial Piala Dunia kepada pelabur ekuiti swasta yang mencetuskan bantahan pelbagai pihak.

Figo menyifatkan tindakan itu sebagai antara episod paling memalukan dalam sejarah pentadbiran badan induk bola sepak dunia. Menurutnya, seseorang yang menggunakan kedudukan untuk kepentingan diri sendiri tidak layak memimpin FIFA.

Dalam kenyataan terbukanya, Figo berkata, “Apa yang saya lihat didedahkan dalam tempoh 10 hari lalu adalah tingkah laku paling rendah, paling penuh tipu daya dan paling mementingkan diri yang pernah saya saksikan.”

Beliau turut mempersoalkan mengapa rancangan tersebut dilakukan secara sulit jika benar ia memberi manfaat kepada bola sepak dunia.

“Jika rancangan itu benar-benar begitu baik, mengapa tidak berterus terang bahawa ia akan memberikan anda pekerjaan bernilai AS$30 juta setahun pada akhirnya?” soal Figo.

Bekas bintang Real Madrid itu turut menuduh Infantino telah merosakkan maruah dan martabat jawatan Presiden FIFA yang sebelum ini berjanji untuk dipulihkan.

“Infantino telah menjatuhkan martabat jawatan Presiden FIFA yang pernah dijanjikannya untuk diangkat semula.

“Dia berbohong, menipu dan cuba mengaut keuntungan peribadi dengan mengorbankan permainan yang sepatutnya dipeliharanya,” tegas Figo.

Figo jelas mengingatkan Infantino tentang kritikannya dulu ke atas Sepp Blatter, dalam usaha Infantino mahu merampas kedudukan kerusi Presiden FIFA.

Selain itu, Figo turut mempersoalkan keperluan FIFA mendapatkan pelaburan luar sedangkan badan itu memiliki rizab kewangan berbilion dolar.

Menurutnya, FIFA mempunyai kira-kira AS$5 bilion dalam simpanan, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa organisasi itu perlu membuka ruang kepada pelabur luar jika kedudukannya masih kukuh.

Beliau juga merujuk dakwaan yang dibangkitkan Persatuan Bola Sepak Jordan mengenai tekanan terhadap beberapa ahli FIFA bagi mendapatkan sokongan politik, sekali gus menyifatkan cara pentadbiran semasa sebagai tidak telus.

Kontroversi ini terus memberi tekanan hebat kepada Infantino yang kini dilaporkan mengadakan pertemuan bersama pegawai kanan FIFA di Maghribi bagi mempertahankan kedudukannya.

Sekiranya lebih banyak persatuan bola sepak kebangsaan menarik sokongan, tekanan supaya beliau berundur dijangka akan terus meningkat.