Trading bukan perkara asing di dalam masyarakat serba moden hari ini. Bahkan, kini semudah di hujung jari sahaja untuk melakukan perdagangan dalam menggandakan wang peribadi.

Kita pun sedia maklum ia bukanlah skil yang mudah untuk dikuasai kerana boleh menanggung kos kerugian yang besar.

Nampaknya trend ini dilihat semakin berkembang pesat apabila di Korea Selatan sudah wujud pula perdagangan secara langsung yang dibuat dalam format pertandingan e-sport.

Difahamkan setiap peserta akan menerima akaun yang mempunyai jumlah baki yang sama dan untuk menentukan pemenang adalah dengan keupayaan peserta dalam mengembangkan kapital kriptowang dalam masa yang singkat mengikut waktu yang ditetapkan.

Menerusi video yang tular, peserta akan bersaing di atas pentas berlatarbelakangkan skrin digital yang memaparkan transaksi semasa perdagangan yang dibuat oleh mereka.

Kemeriahan jelas boleh dilihat sewaktu pertandingan kerana ramai orang bersorak dan ada yang merakam detik bersejarah itu kerana menjadi yang pertama dalam dunia berbuat sedemikian.

Agak-agaknya acara trading sebegini bakal menjadi sukan rasmi dan dilakukan secara tahunan ke selepas ini?