Sekiranya anda mengikuti perkembangan politik negara dalam tempoh yang panjang, pastinya anda cukup tahu di mana Tun Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sejarah yang panjang antara dua individu ini.

Tun Mahathir pernah dilantik sebagai Perdana Menteri sebanyak dua kali manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi Menteri Kewangan sebanyak dua kali juga di mana salah satunya di bawah pimpinan Tun Mahathir.

HYPE
Dari Konten Ke Jualan, TikTok Shop ‘Game Changer’ E-Dagang
Baca lagi →

Isu menjadi lebih panas sebelum ini apabila Tun Mahathir dikatakan enggan memberi jawatan Perdana Menteri sewaktu Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum ini.

Bagi mendapat penjelasan lanjut, podcast Keluar Sekejap yang terdiri daripada Khairy Jamaluddin dan Shahril Hamdan tampil bertanya kepada Tun Mahathir bagi mengetahui punca sebenar beliau tidak memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Menurut Tun Mahathir, beliau sudah berjanji akan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar dalam tempoh pentadbiran PH sebagai kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Saya sudah janji dan saya akan tunaikan janji. Apabila saya bersama dengan DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka pilih saya untuk jadi calon Perdana Menteri.

“Tapi mereka juga tentukan saya jadi Perdana Menteri untuk beri peluang kepada Anwar jadi Perdana Menteri dan saya terima itu,” katanya dalam rakaman podcast Keluar Sekejap.

Jelas Dr Mahathir, niatnya itu tidak dapat dilunaskan kerana berlakunya Langkah Sheraton yang berjaya menumbangkan kerajaan PH pada Februari 2020.

“Disebabkan Langkah Sheraton, parti kerajaan, iaitu PH sudah hilang kedudukan. Kalau saya bagi jawatan pada Anwar pun, dia tidak boleh jadi sebab parti sudah kalah,” katanya menegaskan beliau tidak dapat melakukan apa-apa kerana partinya pada waktu itu sudah hilang majoriti.

“Saya hendak beri kepada Anwar, tetapi sebelum saya dapat beri, parti saya tolak saya. Apabila parti tidak yakin dengan saya, tindakan saya, saya kena letak jawatan.

“Pada waktu itu juga, saya dapati PH akan kalah kerana Datuk Seri (Mohamed) Azmin Ali bersama dengan BERSATU akan menjatuhkan PH. Kalau saya angkat Anwar jadi Perdana Menteri, dia tidak akan jadi,” katanya.

Dr Mahathir meletak jawatan Perdana Menteri pada Februari 2020 dan BERSATU yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninggalkan gabungan PH bersama 11 Ahli Parlimen PKR.

Selepas meletak jawatan, Dr Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri sementara dan menyarankan idea kerajaan perpaduan dengan semua parti yang mempunyai wakil di Parlimen mengambil bahagian, namun ditolak oleh pelbagai pihak.

Selepas menemubual semua Ahli Parlimen, Yang di-Pertuan Agong mengumumkan bahawa Muhyiddin mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat melalui pembentukan Kerajaan Perikatan Nasional (PN), terdiri BERSATU, Barisan Nasional (BN), PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dari Sabah.

Podcast Keluar Sekejap bersama Tun Matahir baru sahaja dimuat naik tidak sampai 24 jam dan sudah berjaya meraih hampir 1 juta view. Anda boleh tonton video ini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pendekatan Tun Mahathir mengenai situasi politik negara.

Sumber