Pemain sayap skuad kebangsaan Jordan, Mahmoud Al-Mardi menyatakan beliau berminat untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Malaysia pada masa akan datang.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam selepas perlawanan saingan kumpulan E temasya Piala Asia 2023 bertemu Malaysia yang menyaksikan Jordan berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 4-0.
Baca Juga:
- Wan Kuzain Saksikan Aksi Malaysia Menentang Jordan
- Analisis Vocket: High Pressing Berterabur Lawan Jordan
- Peminat India Gembira Malaysia Tewas Kepada Jordan
Menurut Al-Mardi, pengalaman beliau beraksi dalam saingan Liga Malaysia sebelum ini sangat membantu ketika bertemu Malaysia dimana pemain itu menjaringjan dua gol.
Pengalaman beraksi di Liga Malaysia bantu saya jaringkan gol – Mahmoud Al Mardi beri bayangan kembali ke Liga Malaysia, difahamkan mahu bergandingan semula bersama coach Aidil Sharin. 🔥@ASTROARENA pic.twitter.com/Ixy4g1bC9q
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) January 16, 2024
“Saya mempunyai pengalaman beraksi di Liga Malaysia dan itu membantu saya untuk menjaringkan dua gol” katanya.
Menurut perkongsian Zulhelmi, Mahmoud Al-Mardi berminat untuk bersatu semula dengan Aidil Sharin yang ketika ini mengendalikan Kuching City.
Sebelum ini, pemain berusia 30 tahun itu pernah beraksi selama enam bulan bersama Kedah ketika musim 2022/23 dimana beliau menjaringkan 9 gol dalam semua kejohanan.
Paling diingati ialah ketika beliau menjaringkan hatrik ketika Kedah turun menentang kelab Kemboja, Visakha dalam saingan Piala AFC pada musim yang sama.
Akan tetapi, meskipun menampilkan prestasi terbaik, kontrak Al-Mardi tidak disambung dan beliau kemudiannya menyertai Al-Qadsia yang beraksi dalam saingan Liga Kuwait sebelum kembali ke Jordan pada bulan Mei tahun lalu dengan menyertai Al-Hussein.
Dengan pengalaman serta kualiti yang dimiliki oleh Al-Mardi, beliau sememangnya mampu untuk menjadi aset bagi kelab dalam negara yang sedang mempersiapkan pasukan menjelang saingan musim 2024/25.
Menarik untuk disaksikan bagaimana perkembangan Al-Mardi dalam temasya Piala Asia 2023 sama ada beliau mampu untuk membawa Jordan melangkah lebih jauh dalam temasya edisi kali ini.