Setelah lama menyepi daripada platform media sosial, Liana ‘Beep Beep’ kini tampil memberi penjelasan terhadap tuduhan melanggar kontrak dengan syarikat Unique Scene Media (USM) yang berlaku hampir setahun lalu.

Berdasarkan video terbaharu yang dikongsikan, Liana menjelaskan bahawa beliau berjaya memenangi kes saman terhadap syarikat media itu dan berjaya membersihkan namanya menerusi sisi perundangan.

Baca Juga:

Difahamkan perbalahan ini berlaku sejak tahun lalu yang mana syarikat USM telah memilih beliau sebagai talent dan USM ingin melanjutkan kontrak selama lima tahun selepas melihat hasil yang memberangsangkan.

Liana bagaimanapun tidak mahu berbuat sedemikian atas alasan tersendiri dan didakwa pernah dipujuk sebanyak tiga kali. Selepas gagal mendapat persefahaman, akaun TikTok untuk tujuan tugasan dengan nama @lianaums96 didapati telah hilang secara tiba-tiba pada November 2022 lalu.

Susulan kes itu, beliau dituduh telah mensabotaj akaun TikTok tersebut kerana dikendalikan olehnya. Syarikat USM kemudian telah memuat naik tiga video secara serentak dengan cubaan mahu memburukkan nama influencer itu.

Perkara ini bertambah buruk selepas mereka bukan sahaja mendedahkan maklumat peribadi Liana, bahkan mendakwa telah melanggar kontrak, mencuri RM8,000 wang syarikat serta dua gelang emas dan tidak jujur dalam perihal percutian bulan madu di Dubai yang ditaja.

Malah, dakwaan karakter dan tagline yang dicipta untuk tujuan tugasan review adalah hasil ciptaan syarikat itu disangkal oleh beliau kerana perwatakan yang dibawa sememangnya begitu sejak awal lagi dan mempunyai bukti video sewaktu pemilihan talent.

Sejak itu, beliau dan sekeluarga diserang teruk oleh netizen dan reputasi tercalar di samping tidak menerima lagi tugasan review atau tajaan daripada syarikat-syarikat di dalam industri.

Sebaik mengumpul segala bukti secukupnya seperti rakaman audio dan mesej untuk menyangkal tuduhan mereka,  beliau bersama pasukan perundangan menghantar satu surat rasmi kepada pihak USM yang mana memberi pilihan sama ada mahu cease and desist (CDO) atau bakal disaman dengan kes mahkahmah.

Beliau masih memberi peluang kepada pihak USM untuk memadam kesemua video tuduhan sebelum itu dan memohon maaf secara terbuka kepada umum. Pihak USM dilihat hanya mendiamkan diri tanpa memberi sebarang respon dalam menyelesaikan secara berhemat pada bulan Disember lepas.

Pada bulan Februari 2023, beliau mengeluarkan saman secara rasmi terhadap syarikat media terbabit dan melanjutkan perbicaraan kes di mahkamah.

Walaupun diberi tempoh untuk mempertahankan diri dan memberikan bukti untuk tuduhan yang dilontarkan, defendan memilih tidak hadir ke mahkamah pada tempoh tertakluk untuk berbuat sedemikian.

Masa tambahan masih diberikan namun pihak USM masih tidak mempertahankan diri mereka di mahkamah seperti yang termaktub di dalam prosedur perundangan.

Lebih teruk lagi apabila syarikat ini didakwa telah mengubah suai maklumat syarikat yang telah ditandatangani di dalam kontrak bersama plaintif dan juga maklumat rasmi SSM sewaktu sesi perbicaraan dijalankan.

Oleh itu, pasukan perundangan plaintif menyediakan set dokumen baharu dalam memastikan saman dan penyataan tuntuan ini akan kekal berjalan terhadap syarikat terbabit.

Syarikat USM sekali lagi gagal menghadirkan diri ke mahkamah dalam mempertahankan diri mereka daripada saman dan tuntutan yang baharu itu. Oleh sebab tindakan syarikat USM dan pasukan perundangan telah melanggar etika perundangan yang mana mengakibatkan mereka disenarai hitam oleh mahkamah.

Dengan komitmen yang diberikan oleh pasukan perundangan dan bukti yang kukuh untuk membuktikan kebenaran, beliau akhirnya memenangi tuntuan mahkamah dan  memasukkan Penghakiman Ingkar (JID) terhadap plaintif.

https://www.tiktok.com/@liafa62/video/7268513202944740616

Liana sangat bersyukur akan kejayaan membersihkan namanya mengikut sisi undang-undang dan menepis fitnah yang dilontarkan terhadap beliau selama ini. Beliau juga mengatakan bakal meneruskan agenda dalam mendapatkan ganti rugi yang dihadapi selama karier terjejas dek fitnah itu.