Salah satu tempat menjadi tumpuan ramai di Thailand adalah Maya Bay, pantai ini bukan sahaja mempunyai panorama yang cantik malahan merupakan salah satu pantai yang mempunyai pasir putih terkenal di dunia.

Terbaharu, Maya Bay selaku pantai terkenal di Thailand akan ditutup sempena musim tengkujuh dari 1 Ogos hingga 30 September untuk proses pemulihan, kata ketua taman negara tempatan, Ratchanok Phaenoi, pada Rabu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Baca Juga:

Mahu Lakukan Pemulihan Selepas Sampah Bertimbun, Pantai Terkenal Di Thailand Bakal Ditutup 2 Bulan
Sumber Gambar: Bangkok Post

Teluk di pulau Phi Phi Le itu terkenal susulan menjadi lokasi filem Hollywood ‘The Beach’ pada 2000 yang dibintangi Leonardo DiCaprio.

Sejak bertahun lamanya, ramai pelancong mengunjungi pulau tidak berpenghuni di kepulauan Phi Phi itu kerana keindahan alamnya, tetapi kini keadaannya ibarat mimpi ngeri.

Setiap hari, puluhan bot akan tiba ke pulau itu, hal ini sekaligus memusnahkan terumbu dan batu karang, serta menakutkan jerung blacktip asli, selain sampah sarap yang bertimbun.

Pantai itu pernah ditutup pada Jun 2018 selama tiga setengah tahun atas gesaan ahli biologi marin. Namun sedia dibuka semula pada Januari 2022 dengan peraturan yang ketat.

Antara perubahan penting yang diperkenalkan iaitu bot tidak lagi dibenarkan masuk ke teluk, selain aktiviti renang serta snorkeling dan bilangan pengunjung dikurangkan.

Phaenoi berkata, penutupan terkini semasa musim tengkujuh itu juga bertujuan melindungi keselamatan pengunjung.

Kebanyakan pelancong datang dari pulau berhampiran iaitu Phi Phi Don dengan menaiki bot panjang.

Ketika hujan dan ombak besar, bot-bot yang sebahagiannya sudah uzur tidak dapat berlabuh di Teluk Loh Sama dan pengunjung terpaksa berjalan kaki ke Maya Bay.

Phaenoi berkata, mulai sekarang, pantai itu akan ditutup setiap tahun pada Ogos dan September. Tindakan ini dilihat sangat bagus untuk menjaga alam sekitar dan juga ekologi akuatik di sana yang sudah pasti terganggu ekoran kehadiran jutaan pengunjung pada setiap tahun.