Satu rakaman tular di media sosial sehingga mencuri perhatian ramai selepas sebuah syarikat Mediastrom yang berpangkalan di Hangzhou, Zhejiang, China, telah hadiahkan iPhone 16 Pro kepada kira-kira 100 pekerjanya, termasuk para intern, lapor NextShark.
Menurut pengasas syarikat, Tim Pan, setiap pekerja, tanpa mengira status mereka sebagai intern atau kakitangan, layak menerima peranti itu.
Melalui mesej dalaman kepada staf, beliau berkata, “Tak kira anda intern atau baru bekerja di sini, asalkan anda bersama syarikat, anda akan dapat satu. Syarikat juga akan menanggung cukai untuk pembelian ini, jangan risau.”
Menariknya, bukan sahaja syarikat hadiahkan iPhone 16 Pro, pekerja Mediastorm juga bakal menerima Apple Watch Series 10.
Berdasarkan laporan tempatan, jurucakap syarikat mengesahkan hadiah ini selepas rakaman itu tersebar di media sosial.
Peranti iPhone 16 Pro yang diumumkan minggu lalu dilancarkan secara rasmi pada 20 September, dengan harga bermula dari USD 999 (sekitar RM4,202) untuk model 128GB.
Pemberian mewah ini bukanlah kali pertama bagi Mediastorm.
Pada 2022, syarikat ini pernah menghadiahkan pekerjanya iPhone 14 Pro, dan pada 2023, mereka menerima iPhone 15 Pro.
Sikap pemurah syarikat ini telah menimbulkan rasa cemburu di kalangan pengguna media sosial.
Sebahagian netizen meninggalkan komen bertanya bagaimana dia mahu memohon untuk bekerja di syarikat terbabit.
Selain itu, ada juga netizen yang membandingkan tempat dia bekerja dengan Mediastorm yang pemurah dalam menghargai pekerja mereka.
Untuk rekod, siri iPhone 16 hadir dengan versi Pro yang jauh lebih berkuasa dan pintar kerana menjadi fokus buat syarikat ini memanfaatkan ciri kecerdasan buatan seperti pesaing lain.
Sebanyak dua model yang ditawarkan iaitu iPhone 16 Pro dan iPhone 16 Pro Max pada kali ini.
Malah, terdapat beberapa pembaharuan yang dibawakan yang bakal menarik minat para pencinta Apple di luar sana.
Ia hadir dengan skrin berukuran lebih besar berbanding sebelumnya iaitu sekitar 6.3-inci.
Sementara versi Pro Max pula menampilkan skrin bersaiz 6.9-inci sekaligus dinobatkan sebagai penawaran iPhone dengan skrin paling besar setakat ini.