Acara larian komuniti berprestij, Maraton Makkah 2026, dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 19 Disember 2026 bertempat di kawasan Mashair (Tanah Suci), dengan menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah SAR 69,000 (~MYR 74,858.35).

Penganjuran maraton ini bermatlamat menggabungkan elemen sukan dan warisan budaya, sekali gus memberi peluang kepada peserta merasai pengalaman unik melintasi kawasan bersejarah yang menjadi tumpuan jutaan umat Islam di seluruh dunia.

Garisan permulaan dan penamat bagi perlumbaan utama akan berpusat di Laluan Pejalan Kaki Muzdalifah (Muzdalifah Walkway). Laluan maraton bakal merentasi beberapa mercu tanda bersejarah termasuk Jabal Al-Rahmah, Masjid Namirah, dan sekitar kawasan Arafat.

Pihak penganjur menawarkan lima kategori perlumbaan dengan perincian seperti berikut:

1. Kategori Adaptif (200 m): Dikhususkan bagi individu berkeperluan khas (kurang upaya motor) lelaki berumur 4 tahun ke atas. Perlumbaan ini dijadualkan berlangsung pada hari Jumaat, 18 Disember 2026, dan penyertaan adalah percuma.

2. Kategori Kanak-kanak (2 km): Dibuka kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur 4 hingga 11 tahun pada hari Jumaat, 18 Disember 2026, dengan yuran pendaftaran sebanyak SAR 30.00 (~MYR 32.55).

3. Kategori 5 km: Berlangsung pada hari Sabtu, 19 Disember 2026, khusus untuk lelaki berumur 10 tahun ke atas dengan yuran SAR 50.00 (~MYR 54.25). Laluan bermula di sepanjang Laluan Pejalan Kaki 1 sebelum berpatah balik di titik pusingan yang ditetapkan menuju ke garisan penamat.

4. Kategori 10 km: Berlangsung pada hari Sabtu, 19 Disember 2026, terbuka kepada lelaki berumur 14 tahun ke atas dengan yuran SAR 75.00 (~MYR 81.37). Peserta akan berlari dari Laluan Pejalan Kaki 1 ke kawasan jambatan, sebelum berpatah balik melalui Laluan Pejalan Kaki 4 ke garisan penamat.

5. Kategori Separuh Maraton (21 km): Dikhususkan untuk lelaki berumur 16 tahun ke atas pada hari Sabtu, 19 Disember 2026, dengan yuran pendaftaran sebanyak SAR 100.00 (~MYR 108.49). Laluan ini bermula dari Muzdalifah menuju ke Masjid Namirah, memasuki Jalan Lingkaran Arafat, dan berpatah balik melewati Jabal Al-Rahmah sebelum tamat di Muzdalifah.

Bagi menyokong kelancaran penganjuran, sebuah pusat aktiviti iaitu Marathon Village akan beroperasi selama tiga hari bermula Khamis, 17 Disember hingga Sabtu, 19 Disember 2026.

Pusat ini menempatkan pelbagai kemudahan bersepadu seperti kaunter pendaftaran dan pengambilan pek perlumbaan (race bib), bantuan perubatan dan kecemasan, gerai makanan dan minuman, zon penaja, ruang media, serta pentas hiburan dan sukan.

Ganjaran hadiah wang tunai berjumlah SAR 69,000 (~MYR 74,858.35) akan dibahagikan merangkumi beberapa kategori utama, termasuk kategori Profesional, Warga Emas (Seniors), dan Kanak-kanak.

Pendaftaran kini dibuka secara rasmi menerusi portal acara berkenaan.