Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti akan bertandang ke tempat lawan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang pasukan India pada Selasa, 19 November 2024.
Berdasarkan kemas kini ranking terbaharu Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) pada 19 September lalu, India kini berada di kedudukan ke-126 dunia, enam anak tangga dibezakan dengan Malaysia di kedudukan ke-132 dunia.
Baca Juga:
- Harimau Malaya Mungkin Lawan Satu Lagi Pasukan Dari Oceania
- Perdana Menteri New Zealand Jumpa Khairul Aming, Ucap Tanda Penghargaan
- Salam Cium Tangan, Pemain Ragbi New Zealand Kagum Dengan Akhlak Orang Melayu Malaysia
Venue dan waktu sepak mula perlawanan akan dimaklumkan selepas ia dimuktamadkan oleh pihak tuan rumah iaitu Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF).
SIARAN MEDIA: SKUAD HARIMAU MALAYA SAH AKSI BERTEMU INDIA PADA 19 NOVEMBER 2024
▶️ Baca penuh siaran media ini di https://t.co/hjnGY29fj9#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/6UBmPDlxMi
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) September 25, 2024
Perlawanan tersebut bakal berlangsung dalam Kalendar Antarabangsa FIFA, 11 hingga 19 November 2024 yang mana FAM juga pada ketika ini masih sedang mengesahkan satu lagi perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang satu lagi pasukan lain dalam tempoh berkenaan.
Kali terakhir Malaysia bertemu India ialah pada 13 Oktober 2023 untuk perlawanan Pestabola Merdeka 2023 yang mana skuad Harimau Malaya yang ketika itu dibimbing Kim Pan-gon mencatat kemenangan 4-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Malaysia turut pernah bertandang ke India bagi siri dua perlawanan persahabatan menentang negara tersebut pada 2011 yang mana skuad Harimau Malaya kendalian Datuk K. Rajagobal ketika itu seri 1-1 pada aksi pertama di Guwahati dan tewas 3-2 pada aksi kedua di Kolkata.
Sebelum itu, Harimau Malaya bakal berdepan pasukan ranking ke-94 dunia, New Zealand pada perlawanan antarabangsa Tier 1 di Stadium North Harbour, Auckland, 14 Oktober ini.
Kali terakhir skuad Harimau Malaya bertemu New Zealand ialah 18 tahun yang lalu iaitu ketika skuad yang dibimbing Norizan Bakar ketika itu tewas 1-0 pada aksi persahabatan pertama di Christchurch pada 19 Februari 2006 dan tewas 2-1 pada aksi persahabatan kedua di Auckland pada 23 Februari 2006.