Skuad Harimau Malaya berpotensi berada dalam kelompok ranking 120 pasukan dunia pada penghujung tahun ini sebelum ke Qatar hadapi saingan Piala Asia 2023 bulan Januari 2024 nanti.

Ketika ini Malaysia telah melonjak 7 anak tangga sehingga ranking 130 dunia selepas mengejutkan Kyrgyzstan 4-3 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Baca Juga:

Hasil kemenangan ke atas pasukan ranking 97 dunia tersebut menyaksikan Malaysia memperolehi tambahan sebanyak 15.49 mata ranking FIFA  dan ia juga adalah kemenangan pertama Harimau Malaya ke atas pasukan 100 terbaik dunia dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Secara keseluruhan, Malaysia telah mengumpul 1112 mata sekaligus semakin menghampiri sasaran berada dalam kelompok ranking 120 dunia.

Bagaimanapun, kedudukan itu masih belum muktamad kerana perlu mengambil kira beberapa keputusan perlawanan membabitkan negara lain dalam saingan Kelayakan Piala Dunia 2026.

Namun begitu, skuad kendalian Kim Pan Gon berpeluang mendaki lebih tinggi jika mereka berjaya menewaskan Chinese Taipei dalam aksi kedua kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026 yang berlangsung pada malam esok.

Jika menang, Malaysia akan memperolehi tambahan mata sebanyak 10.66 dan mengumpulkan keseluruhan mata sebanyak 1122.87.

Dengan jumlah mata tersebut, Harimau Malaya berpotensi naik sekurang-kurangnya satu anak tangga berada di ranking 129 dunia. Kali terakhir Malaysia berada dalam kelompok 120 dunia adalah pada tahun 2001 iaitu di tangga ke-128 dunia.

Ianya bukan mustahil jika Malaysia mencipta kejutan melonjak beberapa anak tangga dengan syarat mereka konsisten mencatat kemenangan dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia yang menawarkan mata ranking lebih besar daripada aksi persahabatan antarabangsa.

Selain itu, saingan Piala Asia 2023 di Qatar juga merupakan peluang terbaik untuk Harimau Malaya mendaki lebih tinggi dalam kedudukan ranking FIFA kerana jumlah mata yang ditawarkan cukup besar.