Peluang skuad Malaysia bawah 20 tahun (B-20) beraksi di Piala Asia B-20 2025 kini sudah tertutup selepas tewas 0-1 kepada Tajikistan dalam perlawanan ketiga kumpulan E saingan kelayakan malam tadi.

Walaupun masih memiliki baki satu lagi perlawanan menentang Sri Lanka, ia masih tidak cukup untuk meraih tiket ke Piala Asia B-20 menerusi slot tempat kedua terbaik kerana sebarang keputusan menentang pasukan tercorot kumpulan tidak dikira.

Baca Juga:

Sebelum itu, Korea Utara disahkan sebagai juara kumpulan E selepas menewaskan Oman 1-0 dengan rekod tanpa kalah manakala Malaysia hanya mampu raih 4 mata hasil kemenangan ke atas Oman serta seri menentang Korea Utara.

Skuad kendalian Juan Torres Garrido itu memiliki beberapa peluang keemasan untuk menjaringkan gol pembukaan ke atas Tajikistan namun ketumpulan penyudah sentiasa menjadi masalah utama.

Malaysia hampir dapat gol awal sebaik wisel ditiupkan namun rembatan Zamirul Hakim tepat ke dakapan penjaga gol tuan rumah, Makhmudzoda Shakhobiddin.

Peluang skuad negara terus dinafikan Makhmudzoda yang tangkap menepis sepakan percuma Haykal pada minit ke-21 untuk melegakan kem tuan rumah.

Malaysia juga memiliki sekurang-kurangnya lima peluang untuk menjaringkan gol di separuh masa kedua namun sekali lagi ketumpulan jentera hadapan agak mengecewakan.

Menuju 10 minit terakhir, pasukan tuan rumah bimbingan Milos Kostic dari Slovenia mula melancarkan serangan bertubi-tubi sekaligus memaksa benteng pertahanan negara bekerja keras.

Namun ketika perlawanan dijangka berakhir dengan seri, Khushvakhtov Dzhovidon melepaskan satu rembatan cantik yang tepat menuju ke sasaran untuk menewaskan penjaga gol negara, Haziq Aiman.