Malaysia melangkah ke pentas final acara badminton berpasukan lelaki Sukan SEA 2025 selepas berjaya menundukkan Thailand 3-1 pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Thammasat University kampus Rangsit, Pathum Thani sebentar tadi.
Kemenangan itu hanya selangkah lagi untuk melihat kem badminton negara menamatkan penantian selama 20 tahun selepas kali terakhir memenangi pingat emas acara ini pada 2005 di Manila, Filipina.
Baca Juga:
- Senarai Pemain Badminton Beraksi Dalam Sukan SEA 2025

- BAM Hantar Skuad Terkuat Hadapi Sukan SEA 2025

- Jadual Aksi Skuad Sepak Takraw Malaysia Di Sukan SEA 2025

Skuad negara bagaimanapun tewas pada perlawanan pertama selepas Leong Jun Hao gagal menyaingi pemain perseorangan ranking ketiga dunia, Kunlavut Vitidsarn.
Jun Hao cuba memberikan saingan tetapi Kunlavut jelas sukar digugat yang akhirnya menyaksikan pemain negara tersebut tewas 15-21, 15-21.

Kem negara kembali ceria pada aksi beregu pertama selepas Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyerap tekanan dengan baik untuk menumpaskan Supak Jomkoh-Peeratchai Sukphun 21-18, 21-19.
Kemenangan itu menyemarakkan api perjuangan Justin Hoh yang tampil cemerlang terutamanya pada set pertama untuk menewaskan Panitchaphon Teeraratsakul 21-10, 21-17 bagi memberikan kelebihan buat Malaysia.
Malaysia Ke Final Badminton Berpasukan
Gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun memastikan slot ke final menjadi milik Malaysia selepas mengenepikan cabaran Dechapol Puavaranukroh-Pakkapon Teeraratsakul 21-14, 18-21, 21-17.
Dengan kemenangan tersebut, Malaysia akan berhadapan dengan Indonesia di final pada Rabu nanti selepas musuh tradisi itu menewaskan Singapura 3-1.
Sementara itu hasrat untuk melihat skuad wanita turut ke final tidak kesampaian selepas tewas 2-3 di tangan Indonesia bagi merangkul pingat gangsa.