Baru-baru ini Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook menyatakan pemilik kereta mewah telah culas memperbaharui cukai jalan Malaysia dengan tunggakan mencecah lebih RM35.7 juta.
Memetik Free Malaysia Today, pemilik tersebut terdiri daripada ahli politik, ahli perniagaan ternama dan pemilik kenderaan mewah bergelar Tan Sri.
Baca Juga:
- Nissan GT-R Antara 13 Kereta Mewah Bernilai RM5 Juta Disita JPJ Kelantan

- Buat Aksi ‘Aura Farming Boy’ Untuk Populariti Media Sosial, Dua Kereta Mewah Disita


“Semua maklumat pemilik, jenis kenderaan dan tempoh cukai jalan yang tamat ada dalam sistem JPJ. Saya tidak akan umumkan nama mereka kerana tidak mahu memalukan sesiapa.
“Saya hanya mohon mereka menjalankan tanggungjawab memperbaharui cukai jalan. Jika kenderaan itu masih digunakan atas jalan raya, mereka wajib membayar lesen kenderaan motor (LKM) dan mempunyai insurans sah,” kata beliau.
Malaysia rugi lebih RM35.7 juta setahun

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kenderaan mewah pelbagai jenama direkodkan tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dengan nilai kadar LKM berjumlah RM 35,741,580.00 setahun.
Senarai jenama kereta mewah yang ‘lari’ daripada membayar cukai adalah –
1. 660 unit Bentley (RM 7,055,197.10)
2. 345 unit Rolls-Royce (RM6,455,563.70)
3. 372 unit Lamborghini (RM3,761,345.40)
4. 675 unit Ferrari (RM4,718,395.60)
5. 4,308 unit Porsche (RM13,751,078.20)
Menurut Anthony Loke, ada pemilik sengaja tunggu kenderaan disita. Mereka menganggap kompaun RM300 masih berbaloi berbanding cukai jalan yang perlu dibayar.
“Jika sikap ini berterusan, kami tidak teragak-agak mengambil tindakan lebih drastik dan saya memberi peringatan awal untuk mereka memperbaharui cukai jalan.
“JPJ sudah menyita lebih 400 kenderaan mewah dalam beberapa bulan kebelakangan ini (Op Luxury). Walaupun tidak semua kes disiarkan di media, operasi ini berjalan secara berterusan,” katanya sambil menambah jika kenderaan tidak digunakan lagi, pemilik boleh melupuskannya daripada sistem.
Sementara itu JPJ pula menyatakan pihak Kementerian Pengangkutan dan JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang- undang dan peraturan jalan raya demi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya di negara ini.