Malaysia hari ini melaksanakan satu lagi langkah penting dalam usaha memperkukuh keselamatan digital menerusi penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Melalui pengumuman oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen kini diwajibkan melaksanakan sistem pengesahan umur bagi memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun ke atas boleh mendaftar dan mengakses platform mereka.
Langkah ini melibatkan platform utama seperti Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.
Pengesahan umur jadi syarat utama
MCMC menetapkan bahawa pengesahan umur perlu dibuat menggunakan rekod rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia atau dokumen setara yang diiktiraf.
Bagi pengguna baharu, syarat tersebut berkuat kuasa serta-merta mulai 1 Jun 2026.
Manakala bagi pengguna sedia ada, proses pengesahan umur akan dijalankan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan akan datang.
Pengguna yang dikenal pasti berumur bawah 16 tahun akan diberikan tempoh selama sebulan untuk memindahkan data mereka termasuk gambar dan video sebelum sekatan atau penggantungan akaun dilaksanakan.
Pendekatan lebih menyeluruh terhadap keselamatan digital
Selain pengesahan umur, CPC turut mewajibkan platform mengintegrasikan ciri keselamatan kanak-kanak dalam reka bentuk produk mereka melalui pendekatan “safety by design”.
Kod Pengurangan Risiko (RMC) pula memerlukan penyedia perkhidmatan menjalankan penilaian risiko, mempertingkatkan moderasi kandungan, menyediakan kawalan keselamatan pengguna serta meningkatkan akauntabiliti platform.
Penguatkuasaan ini meletakkan Malaysia sebaris dengan beberapa negara lain yang telah memperkenalkan mekanisme pengesahan umur bagi mengurangkan pendedahan kanak-kanak kepada risiko dalam talian.
MCMC turut menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana platform yang gagal memenuhi keperluan yang ditetapkan di bawah undang-undang.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kod Perlindungan Kanak-Kanak (Child Protection Code, CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (Risk Mitigation Code, RMC), sila rujuk Soalan-soalan Lazim https://mcmc.gov.my/en/onsa/resources/frequently-asked-questions.