Manchester United dikhabarkan bersedia untuk melepaskan pemain sayap, Antony pada jendela perpindahan bulan Januari nanti sama ada secara pinjaman atau perpindahan secara tetap.

Hadir ke Manchester United pada 1 September 2022 dengan tanda harga bernilai $112.4 juta, Antony dilihat cukup bergelut untuk membuktikan kemampuannya.

Baca Juga:

Ia jelas dibuktikan apabila daripada 86 penampilannya bersama Manchester United, Antony hanya mampu menjaringkan 12 gol dan mencipta lima bantuan jaringan.

Saingan liga musim ini pula menyaksikan beliau hanya membuat empat penampilan dan hanya satu perlawanan diturunkan di kesebelasan utama.

Malah, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa pemain kelahiran Sao Paulo, Brazil ini sebagai antara pembelian merugikan buat The Red Devils.

Melihatkan kepada sumbangan yang cukup terhad pemain tersebut, Manchester United berhasrat untuk melepaskannya.

Menurut sumber laporan Goal, pihak pengurusan Manchester United bersedia untuk mendengar tawaran sekitar $52.3 juta buat pemain berusia 24 tahun itu.

Penurunan harga sebanyak 50 peratus berbanding harga beliau mula datang ke Old Trafford tetapi langkah segera perlu dilakukan oleh United daripada terus menanggung kerugian ekoran prestasi kurang baik Antony.

Laporan itu selanjutnya menyebut bahawa United juga sedang mempertimbangkan sama ada untuk meminjamkan Antony dengan harapan dapat meningkatkan nilainya menjelang jendela musim panas 2025.

Manchester United kini berada di kedudukan ke-14 saingan English Premier League (EPL) 2024/25 apabila sekadar meraih dua kemenangan, dua keputusan seri dan tiga kekalahan untuk meraih lapan mata.

Sumber