Juara bertahan Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City sedang memburu khidmat pemain pertahanan skuad kebangsaan Uzbekistan, Abdukodir Khusanov pada jendela perpindahan kedua yang dibuka baru-baru ini.

Pengurus pasukan iaitu Pep Guardiola dilaporkan mahu perpindahan pemain pertahanan berusia 20 tahun itu segera diselesaikan bagi memastikan pasukannya kembali memberikan saingan bagi mempertahanan kejuaraan.

Baca Juga:

Khusanov beraksi bersama kelab Ligue 1 Perancis iaitu RC Lens dimana beliau menyertai kelab itu pada 2023 daripada kelab Belarusia Energetik-BGU Minsk. Pada musim sulungnya di Perancis, Khusanov membuat 16 penampilan dalam semua pertandingan, membuktikan dirinya sebagai pemain pertahanan yang mampu mengisi kesebelasan utama dengan konsisten.

Musim ini, Abdukodir Khusanov menjadi pemain permulaan tetap untuk Lens, tampil dalam 16 daripada 18 perlawanan Ligue 1, hanya terlepas dua perlawanan kerana penggantungan selepas insiden kad merah pada November. Persembahannya telah mendapat perhatian daripada beberapa kelab EPL, termasuk Newcastle United dan Tottenham Hotspur, tetapi Manchester City kelihatan bertekad untuk membawanya ke Etihad.

Selain Khusanov, Guardiola juga mahu kelabnya mendapatkan khidmat penyerang Eintracht Frankfurt, Omar Marmoush yang mana pemain itu boleh beraksi di beberapa posisi di bahagian serangan.

Marmoush telah menampilkan prestasi cemerlang musim ini, menjaringkan 13 gol dalam 15 perlawanan Bundesliga, sambil mengumpul 18 gol dan 12 bantuan dalam semua pertandingan sejak berpindah dari Wolfsburg pada 2023.

“Dalam beberapa posisi kami memerlukan bantuan. Apabila kami semua bersama, kami adalah pasukan yang kami sedia ada tetapi dengan pemain penting diketepikan selama berminggu-minggu dan berbulan-bulan, ia amat sukar,” kata Pep.