Manchester United meraih kemenangan 3-1 ke atas Hong Kong pada aksi persahabatan yang berlangsung di Hong Kong Stadium, sebentar tadi.
Dikecam hebat serta terus menjadi bahan ketawa ekoran kekalahan ditangan ASEAN All Stars, Ruben Amorim membariskan Bruno Fernandes, Casemiro, Alejandro Garnacho, Rasmus Hojlund dan Jonny Evans di kesebelasan utama.
Baca Juga:
- Dikejutkan ASEAN All Stars, Manchester United Terlepas Piala Cabaran Maybank
- Manchester United Puji Padang SNBJ, Kepakaran PSM Mungkin Bakal Bantu Old Trafford
- Peminat Manchester United Kecewa: Sudah Kalah, Dapat Jari Tengah, Kini Difitnah Amad Diallo
The Red Devils memulakan aksi dengan cukup bertenaga apabila mengasak kubu tuan rumah sejak wisel permulaan ditiupkan.
Namun penjaga gol Hong Kong, Tse Ka-Wing cukup kental bertahan dalam mengawal gawangnya daripada dibolosi barisan pemain Manchester United terutamanya menerusi Fernandes dan Garnacho.
Ia jelas dibuktikan apabila penjaga gol berusia 26 tahun itu tangkas dalam menafikan sepakan percuma Fernandes pada minit ke-12 dan percubaan dalam kawasan penalti oleh Garnacho, seminit kemudian.
Manchester United Tersentak Dahulu
Dalam keghairahan Manchester United mengatur gerakan, Juninho Junior menceriakan kem Hong Kong selepas beliau yang menerima hantaran lambung Anson Wong Ho-Chun, melakukan rembatan kaki kiri menewaskan Tom Heaton bagi meletakkan Hong Kong dihadapan.
Lebih menarik ia merupakan percubaan tepat pertama dapat dijelmakan skuad kendalian Ashley Westwood itu.

Bruno Fernandes mendapat peluang terbaik untuk kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-36 ketika hanya berhadapan dengan Ka-Wing.
Bagaimanapun, sepakan rabona dilakukannya diselamatkan penjaga gol tersebut dan percubaan susulan oleh Jaydan Kamason dinafikan pertahanan di atas garisan gol.
Kemasukan Chido Obi-Martin pada babak kedua nyata membuahkan hasil buat Manchester United apabila pemain muda itu menyamakan kedudukan pada minit ke-49.
Mendapat hantaran Manuel Ugarte, Obi-Martin melakukan percubaan yang berjaya membolosi gawang Hong Kong.
Jaringan tersebut nyata menyemarakkan api perjuangan pemain Manchester United untuk terus memburu jaringan.
United hampir didepan pada minit ke-55 tetapi percubaan menarik Mount digagalkan Ka-Wing.
Hong Kong juga mendapat dua peluang terbaik tetapi Altay Bayindir bertindak cemerlang dalam menghalang gawangnya daripada dibolosi.
Obi-Martin sekali lagi membuktikan kemampuannya dengan tandukan pada minit ke-82 yang terus menerjah gawang Hong Kong bagi memberikan kelebihan buat Manchester United.
Ayden Heaven memastikan kemenangan 3-1 memihak United hasil tandukan yang membuatkan penjaga gol gantian, Ng Wai-Him terkapai-kapai pada masa kecederaan.