Pemain tengah Perancis, Manu Kone seakan-akan tidak percaya apabila ketua jurulatih baharu, Zinedine Zidane menyarungkan but untuk turut serta dalam sesi latihan.

Zidane yang dianggap antara pemain tengah menyerang terbaik dunia ketika zaman kegemilangannya mempamerkan sentuhan berbisa pada usia 54 tahun apabila melakukan hantaran dan melancarkan hantaran silang sehingga membuatkan para pemainnya terpukau.

Manu Kone Terpukau Lihat Kehebatan Zidane

“Perkara yang mengejutkan saya sepanjang minggu pertama latihan ialah tahap teknikalnya. Dia langsung tidak kehilangan kebolehannya,” ujar Manu Kone menurut sumber laporan ESPN.

“Melihatnya secara dekat jauh lebih mengagumkan, terutama pada usianya sekarang. Ketika kariernya hampir berakhir, saya masih kecil.”

“Melihat dia masih mempunyai teknik sebegitu sehingga kini membuatkan saya sedar betapa hebatnya dia pada zamannya.”

“Menjadi satu keseronokan untuk dilatih oleh Zidane, seorang legenda dunia. Dia memberitahu saya supaya bermain dengan bebas dan memberikan saya keyakinan.”

“Dia juga merupakan seorang pemain tengah, jadi sebagai pemain tengah, saya mendengar segala yang dikatakannya dan saya hanya boleh belajar apabila berada di sisinya.”

“Dia banyak memberikan nasihat kepada saya mengenai kedudukan di atas padang dan memberikan saya lebih banyak tanggungjawab,” tambah Manu Kone lagi.

Zidane diberikan tanggungjawab untuk membimbing skuad kebangsaan Perancis selepas beliau menggantikan bekas rakan sepasukannya, Didier Deschamps sebaik berakhirnya Piala Dunia 2026.

Dua aksi awal Perancis dibawah kendalian Zidane menyaksikan mereka berjaya menewaskan Turkiye dan Belgium dengan keputusan 1-0.

Sumber