Zinedine Zidane bakal mengenakan kawalan ketat terhadap liputan media pada kem latihan pertamanya sebagai pengurus Perancis di Clairefontaine.

Menurut sumber laporan Goal, Zidane mahu menghapuskan tradisi pemain tampil bergaya ketika tiba di kem latihan dan mengembalikan fokus sepenuhnya kepada bola sepak.

Susulan dengan itu, pemenang Piala Dunia 1998 tersebut dengan tegas melarang wartawan dan kamera daripada membuat liputan mengenai ketibaan tradisional para pemain pada Isnin depan.

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketibaan pemain di kem skuad kebangsaan berubah menjadi seperti pertunjukan fesyen tidak rasmi dengan bintang seperti Jules Kounde sering menjadi perhatian menerusi pilihan pakaian yang luar biasa.

Perubahan Dilakukan Zinedine Zidane Terhadap Kem Perancis

Melihatkan kepada perkara tersebut, Zidane memutuskan untuk menamatkan perhatian luar padang itu serta-merta bagi memastikan tumpuan sepenuhnya diberikan kepada persiapan pasukan di atas padang.

Barisan kejurulatihan Zidane mahu memastikan hari-hari awal kem latihan berada di bawah kawalan dalaman yang ketat bagi mengelakkan perhatian media berlebihan dan kontroversi yang tidak perlu.

Dengan menutup pintu kem latihan kepada jurugambar, pengurus itu mahu memberikan ruang kepada skuad untuk menyesuaikan diri serta memahami tuntutan baharu dengan lebih lancar.

Barisan kejurulatihan percaya ketiadaan kru kamera akan memastikan para pemain memberikan keutamaan kepada prestasi di atas padang berbanding penampilan peribadi.

Selain melakukan beberapa perubahan dari segi disiplin, Zidane turut membentuk barisan kejurulatihan yang lebih besar berbanding pengurus sebelum ini, Didier Deschamps dengan mengadakan seminar di Clairefontaine pada pertengahan Ogos.

Penolong utama, David Bettoni dan pemerhati rasmi, Stephane Plancque turut melakukan perjalanan ke beberapa stadium bagi memantau calon pemain, manakala Arthur Hochede menyertai pasukan sebagai jurulatih kecergasan.

Perubahan dalam pasukan perubatan turut dimuktamadkan apabila pakar podiatri, Serge Isidro menggantikan Marc Retali selepas penyingkiran beliau.

Zidane sendiri hadir ke aksi Trophée des Champions di Stadium Bollaert-Delelis bagi menilai pemain yang beraksi dalam saingan domestik.

Sumber