Pemain import pasukan Kedah Darul Aman (KDA), Manuel Ott menjadi rebutan kelab Liga Super bagi menghadapi saingan musim 2024/25 yang akan membuka tirai pada Mei ini.

Menurut perkongsian wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Ott dilaporkan sedang mengadakan rundingan bersama Kedah untuk menamatkan kontrak lebih awal sekaligus meninggalkan pasukan itu hanya selepas satu musim beraksi di utara tanah air.

Baca Juga:

Tambah Zulhelmi, antara pasukan yang berminat untuk mendapatkan khidmat Manuel Ott ialah Terengganu dimana pemain dari Filipina itu pernah beraksi bersama kelab Pantai Timur itu sebelum menyertai Kedah musim lalu.

Sebelum ini, Kedah memutuskan untuk melepaskan barisan pemain import dari skuad musim lalu dan mengekalkan Ott kerana pemain itu masih memiliki baki kontrak.

Antara pemain import yang dilepaskan ialah Ifedayo Olusegun, Alan Robertson, Ebenezer Assifuah, Jonathan Balotelli, Moses Atede, Manuel Hidalgo, Bojan Ciger dan Amirbek Juraboev.

Selain itu, pemain tempatan yang tidak disambung khidmat oleh Kedah termasuk Rodney Celvin, Azrin Afiq, Faizal Talib, Mior Dani, Zharmein Ashraf, Al-Hafiz Harun dan Hidhir Idris.

Isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh pasukan itu musim lalu memaksa Kedah untuk berjimat bagi mengelakkan masalah sama berlaku dalam saingan musim ini.

Setakat ini, juara Piala Malaysia 2016 itu membawa masuk empat pemain tempatan iaitu Syafiq Ahmad dan Rizal Ghazali yang kembali memperkuatkan skuad Hijau Kuning selain Irfan Zakaria dan Zamri Pin Ramli.

Kedah turut melantik salah seorang lagenda pasukan, Ahmad Fauzi Saari atau yang lebih mesra dipanggil Pak Long sebagai penyelaras pasukan Liga Super bagi saingan musim 2024/25.