Pengurus Fulham Marco Silva berkata kekalahan pasukannya berpunca daripada keputusan pengadil John Brooks dan pegawai VAR yang disifatkannya sebagai “mengerikan.”
Silva tanpa berselindung menyalahkan VAR dan pengadil membantu kemenangan Man United di Old Trafford.
Silva mempersoalkan tindakan pengadil, Brooks yang pada awalnya kelihatan memberikan penalti selepas Jorge Cuenca dikatakan mengasari Matheus Cunha, tetapi tayangan ulangan menunjukkan pertahanan Fulham itu sebenarnya memenangi bola dengan bersih.
Namun selepas semakan panjang, penalti itu dibatalkan dan sepakan percuma diberikan kepada United kerana Cuenca menarik baju Cunha.
United kemudian menjaringkan gol hasil situasi bola mati itu apabila Casemiro menanduk masuk sepakan percuma Bruno Fernandes.
“Cerita perlawanan ini bermula dengan keputusan yang teruk dan mengerikan daripada John Brooks apabila dia memberikan penalti itu,” kata Silva.
“Keputusan yang sangat teruk, kesilapan besar dari saat itu.
“Ini kali pertama kami lihat semua peminat Liga Perdana Inggeris, jurulatih dan pemain rasa begini. Kami perlu gunakan kekecewaan ini untuk menang perlawanan seterusnya.
“Penalti diberikan kerana terjahan itu. Kemudian, kerana keputusan itu terlalu teruk, mereka cari kesalahan lain.
“Kenapa sepakan percuma itu diberi? Ya Tuhan! Ia keputusan yang sangat, sangat teruk.”
Fulham sebenarnya berjaya mengikat United dengan kedudukan 2-2 pada masa kecederaan 90+1.
Namun kesilapan mereka tidak lama selepas itu membolehkan Benjamin Sesko memberikan kemenangan buat Manchester United
Manchester United meneruskan rentak kemenangan di bawah kendalian Michael Carrick. Prestasi semasa, mencerahkan peluang Man United untuk meraih slot ke UCL pada musim hadapan.
Pada masa yang sama, Carrick juga sedang ‘audition’ untuk jawatan tetap di Manchester United.
Pengurus itu berjaya mengembalikan semula keyakinan beberapa pemain dengan sistem bek berempat.