Ketua pasukan Arsenal, Martin Odegaard melihat kekecewaan pada saat akhir terlepas peluang untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 bakal meningkatkan moral pasukan bagi menghadapi musim baharu.
Menundukkan Everton 2-1 pada aksi terakhir liga awal pagi tadi tidak memberikan makna besar buat Arsenal kerana Manchester City turut meraih kemenangan (3-1 ke atas West Ham United) sekali gus sekali lagi berjaya menjuarai EPL.
Baca Juga:
- Pep Guardiola: Tahniah Arsenal Untuk Musim Yang Luar Biasa
- Gagal Jadi Juara, Arsenal Tak Jadi Buat Perarakan Trofi EPL
- Arsenal Tetapkan Tarikh Perancangan Perarakan Trofi EPL
Tidak menolak hakikat bahawa kekecewaan sedang menyelubungi kem The Gunners, Odegaard optimis Arsenal akan bangkit dengan lebih hebat pada musim 2024/25.
“Saya rasa kami semua agak kecewa pada masa ini. Kami telah berjuang untuk sekian lama dan kami begitu rapat. Tetapi pada masa yang sama saya sangat berbangga dengan kesemua pemain, semua orang di kelab termasuklah peminat.”
“Saya sangat berbangga dengan kemajuan yang kami pamerkan. Apabila saya mula-mula datang ke sini sehingga hari ini, ia adalah perbezaan yang sangat besar. Kami telah membuat perubahan terhadap kelab ini.”
“Saya rasa anda semua mempercayai kami sekarang. Kami berada dalam gelombang yang baik. Malah, Kami lebih rapat berbanding musim lepas.”
“Sekarang kita perlu menggunakan masa rehat untuk kembali lebih kuat pada tahun hadapan. Kami akan berusaha untuk memenangi segala-galanya,” ujar Martin Odegaard menurut sumber laporan Goal.
Selepas mengharungi kesemua 38 perlawanan liga, Arsenal mengumpul 89 mata, ketinggalan dua mata dibelakang Manchester City dengan hasil 28 kemenangan, lima keputusan seri dan lima kekalahan.