Hujung minggu yang lalu saya ada bertandang ke Riwayat, menonton Maryam Pagi Ke Malam, filem terbaharu yang dilakonkan oleh seorang seniwati cantik yang tidak dimakan usia, Sofia Jane. Filem ini diarahkan oleh Badrul Hisham Ismail dan ditulis olehnya sendiri bersama-sama dengan Faisal Tehrani.

Ini sebenarnya pertemuan kedua saya dengan Maryam. Pertemuan pertama kami sebelum ini masih dalam bentuk skrip. Saya baca sekilas lalu sewaktu bertandang ke Banglo Selepas Ribut milik teman saya, Rabbani Sujak, yang juga salah seorang pengarah seni untuk filem ini. Malam ini adalah pertemuan kedua saya dengan Maryam, tetapi dalam bentuk filem.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Filem yang pernah ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa 2023 Rotterdam ini mengisahkan tentang Maryam, seorang pemilik galeri berusia 50 tahun yang lahir daripada keluarga bangsawan. Dia mahu berkahwin dengan seorang lelaki muda warga asing yang berasal dari Sierra Leone. Bagaimanapun dia perlu menghadapi pelbagai cabaran daripada keluarga, sistem birokrasi syariah dan masyarakat.

Malay Mail

Filem ini mengangkat pelbagai isu, antaranya adalah feminisme, xenofobia, orientasi seksual, perjuangan kelas, monarki dan isu-isu perkauman. Ia diadun dalam satu cerita yang memperlihatkan perjuangan Maryam untuk berdiri di atas kepercayaannya sendiri, meskipun dunia mengambil sikap menentang.

Daripada segi idea, filem ini meneroka keasingan Maryam apabila dia membuat keputusan untuk berjuang dengan apa yang beliau percaya. Pilihan Maryam untuk berkahwin dengan seorang lelaki dari Afrika Barat telah menimbulkan konflik dalaman dan luaran yang membuatkan para penonton merasa susah payahnya seorang Maryam untuk mendirikan rumah tangga. Padahal ‘Maryam hanya mahu berkahwin,’ kenapa jalannya begitu sulit?

Konflik luaran ini tumbuh dalam tiga bahagian pada pandangan saya. Pertamanya keluarga, dia ditentang habis-habisan oleh ayahnya, seorang kerabat diraja, yang enggan menjadi wali dan melihat keputusannya untuk berkahwin dengan seorang lelaki asing dari Afrika Barat itu adalah satu perang melawan daulat darah diraja. Kemudian dia pula bertembung dengan birokrasi sistem yang bersikap prejudis terhadap seorang wanita. Ia ditonjolkan dalam bentuk seorang ustaz yang mulutnya manis dengan ayat al-quran, tetapi sikap dan jiwanya tidak selari dengan apa yang diucap olehnya. Selepas itu Maryam diuji oleh masyarakat, iaitu teman-temannya yang turut mempersoalkan keputusannya yang mahu berkahwin dengan seorang lelaki asing dan dianggap tidak sekufu.

Yahoo News Malaysia

Konflik-konflik luaran ini telah membawa kepada lahirnya konflik dalaman dan perlawanan dengan diri sendiri. Maryam hanya mahu kahwin. Maryam mahu menamatkan zaman bujang. Maryam sedar dia sudah menopaus, tapi dia hanya mahu berkahwin dan hidup berdua. Dia tidak mahu mati seorang. Tetapi kenapa susah sangat? Kenapa orang-orang disekelilingnya mempersoalkan darah, negara dan nafsu teman lelakinya? Kenapa mereka tidak membantu usahanya untuk mendirikan sebuah masjid atau menghalalkan sesuatu yang haram? Orang-orang ini, bukan memudahkan, tetapi langsung tidak membantu, malah membawa beban lagi. Lalu tinggal Maryam seorang, berlawan dengan pilihannya sendiri. Raut wajah Maryam sewaktu adegan di dalam kereta seorang diri selepas menelefon kekasihnya buat penonton tahu yang Maryam rasa tertekan, dia mula mempersoalkan keputusannya, tetapi masih teguh dengan pilihannya.

Pengarah juga turut mengambarkan Maryam seperti seorang wanita lanjut usia atau anak dara tua yang sunyi dan tidak mendapat sokongan daripada sesiapa pun. Sistem sokongan yang beliau ada hanyalah daripada pekerjanya di galeri dan peguam yang diupah untuk membawa kes ayahnya yang enggan menjadi wali. Bagaimanapun, ada sedikit keraguan di atas sokongan yang diberikan oleh pekerja dan peguamnya kerana mereka berdua diupah oleh Maryam untuk bekerja bagi pihaknya dan motivasi sokongan mereka mungkin lebih tearah kepada wang atau hubungan majikan dan pekerja.

Secara teknikalnya, cerita ini dipaparkan dengan gaya yang sangat minimal. Lokasi dan reka bentuk set tidak begitu gah, tetapi masih bercerita. Manakala Maryam pula mengenakan gaun pendek warna kuning yang digambarkan oleh pengarah sebagai simbolik bahawa permasalahan ini bukan sahaja terjadi pada orang kebanyakan, tetapi ia juga dihadapi oleh mereka yang berpengaruh. Filem ini pula diambil dalam bentuk potret yang membawa maksud bahawa Maryam adalah pembawa cerita.

Bagaimanapun, satu kekurangan bagi saya untuk Maryam Pagi Ke Malam ada di bahagian dialog. Ada pengulangan idea disebalik perbincangan dalam tiga babak penting filem ini – ketika bertemu ayahnya, ustaz dan kawan-kawannya. Sebagai contoh, perbincangan di antara Maryam dan watak-watak yang terlibat kebanyakannya terarah kepada mempersoalkan nafsu dan seks teman lelakinya. Walaupun dibuat dalam bentuk kiasan, namun apabila diulang-ulang, ia menimbulkan rasa kurang selesa dan menampakkan bahawa perbualan Maryam bersama dengan watak-watak tersebut tidak berkembang kepada soal-soal lain. Bagaimanapun pengarah berkata bahawa itu adalah sebahagian daripada kritik sosial, di mana unsur-unsur perbincangan seperti itu wujud dalam masyarakat, tambah-tambah jika lelaki itu adalah warga asing.

Secara keseluruhannya, Maryam Pagi Ke Malam adalah filem yang layak ditonton dan ditelaah oleh rakyat Malaysia. Ia membuka lembaran perbincangan mengenai pelbagai topik-topik hangat yang jarang dibincangkan dikhalayak umum. Selain itu, ia juga membuka mata bahawa sesetengah birokrasi agama itu wujudnya bukan untuk memudahkan, tetapi lebih kepada mahu menekan dan bersifat menyusahkan.