Ketua Pemuda Pas, Ahmd Fadhli Shaari mendakwa bahawa punca masalah air di Kelantan adalah salah Kerajaan Persekutuan yang telah mengabaikan tanggungjawabnya ke atas negeri tersebut.

Menurut laporan Harian Metro, beliau berkata selama 30 tahun, Kelantan telah diabaikan oleh Umno. Tambahnya lagi, segala geran-geran dan peruntukan telah diberikan kepada negeri lain, tetapi tidak diberikan kepada Kelantan.

“Negeri bawah BN dia bagi sumbangan, geran dan peruntukan dengan menganaktirikan Kelantan. Baru sekarang (Kerajaan Persekutuan) bagi (peruntukan) kepada Kelantan, itu pun secara hutang.

“Kita perlu geran bagi pembangunan air sebab rakyat semakin ramai, taman perumahan, rumah makin banyak didirikan tetapi paip tidak dapat diperbesarkan kerana tiada dana dan peruntukan.

“Sebab itu bila kita ada dalam kerajaan, perkara ini dibaiki dengan begitu pantas dengan tatacara dan tatakelola apabila peruntukan diberikan (kepada Kelantan),” katanya dalam Ceramah Pakat Pertahan Dewan Undangan Negeri (Dun) Meranti, Pasir Mas di sini, malam tadi.

Tidak pasti apakah yang cuba dimainkan oleh Pas, tetapi masalah air Kelantan ini sudah berlangsung agak lama tetapi masih tiada jalan penyelesaian.

Selain itu masalah pengurusan juga menjadi salah satu topik hangat baru-baru ini apabila syarikat yang bertanggungjawab menguruskan air kelantan telah bertindak memberi bonus yang tinggi kepada pimpinan tertinggi syarikat.

Sehingga ia menimbulkan persoalan ramai orang bagaimana mereka boleh mendapat bonus yang tinggi sedangkan masalah air Kelantan masih di tahap yang sama dan tidak nampak cara untuk menyelesaikannya.