Kempen mengecewakan Jerman dalam saingan Piala Dunia FIFA terus mencetuskan kontroversi dengan legenda, Lothar Matthaus mendedahkan butiran mengenai masalah dalaman yang didakwa telah menjejaskan fokus pasukan sepanjang kejohanan tersebut.
Pemenang Piala Dunia 1990 itu berkata kem latihan Jerman dibayangi gangguan luar padang melibatkan ahli keluarga pemain, sekali gus mewujudkan ketegangan yang tidak perlu dalam skuad kendalian Julian Nagelsmann itu.
Matthaus berkata perbezaan pendapat mula timbul berkaitan urusan perjalanan ahli keluarga pemain.
Situasi itu dilaporkan mencetuskan rasa tidak puas hati dalam bilik persalinan serta menimbulkan ketegangan dalam kalangan skuad.
Matthaus Dedah Masalah Dalaman Jerman
“Banyak perkara yang perlu dihadapi, baik di dalam mahupun di luar padang. Ada masalah melibatkan isteri, keluarga. Semuanya ada,” ujar Matthaus menurut sumber laporan Bein Sports.
“Seorang pemain berasa tidak puas hati kerana ibu kepada pemain lain dibenarkan menaiki pesawat pasukan manakala ada yang dibenarkan membawa isteri dan anak-anak mereka. Ahli keluarga yang lain pula terpaksa menaiki penerbangan komersial.”
Beliau turut mempersoalkan keputusan membenarkan keluarga menyertai skuad terlalu awal dalam kejohanan dengan hujah bahawa ia mengalihkan fokus pasukan daripada bola sepak.
“Pada akhirnya, terdapat banyak kekecohan yang tidak pernah didedahkan kepada umum. Fokus mereka langsung bukan pada Piala Dunia.”
“Mereka belum pun berada di Amerika Syarikat selama dua minggu sebelum keluarga mereka sudah pun berada di sana. Mereka sepatutnya boleh menunggu sehingga peringkat suku akhir,” tambah beliau lagi.