Khairul Aming Persoal Kebocoran Data Bil Peribadi, Maxis Mohon Maaf & Ambil Tindakan Undang-Undang

Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming, mempersoalkan tahap keselamatan data pelanggan Maxis selepas maklumat berkaitan bil telefon peribadinya didakwa didedahkan oleh seorang individu di media sosial.

Dalam satu hantaran di Threads, Khairul Aming meminta penjelasan daripada syarikat telekomunikasi itu selepas seorang pengguna berkongsi jumlah tunggakan serta butiran akaunnya secara terbuka.

“Mohon penjelasan daripada Maxis macam mana personal phone bill saya boleh leak,” soal Khairul Aming

Individu tersebut mendakwa Khairul Aming mempunyai tunggakan bil sebanyak RM498 dan turut mengulas mengenai penggunaan akaun telefon berkenaan.

Bagaimanapun, Khairul Aming menjelaskan bahawa isu sebenar bukanlah mengenai jumlah bil yang perlu dibayar, sebaliknya bagaimana maklumat sulit itu boleh diakses dan disebarkan kepada orang awam.

“Tak perlu beritahu sebab ni hal peribadi saya. Saya memang bayar bil in advance untuk beberapa bulan ke depan, tak perasan dah drained balance.”

“Tapi yang jadi creepy macam mana awak boleh tahu info bil Maxis saya ni sampai post ke public? Ni personal data saya.”

Khairul Aming

Susulan isu yang tular itu, Maxis mengeluarkan kenyataan rasmi memaklumkan bahawa syarikat sedang menyiasat insiden tersebut.

Menurut Maxis, hasil siasatan awal mendapati ia merupakan insiden terpencil yang melibatkan tindakan tanpa kebenaran dan bukannya kebocoran data yang menjejaskan pelanggan lain.

“Kami sedang menyiasat satu insiden yang tular di media sosial malam tadi berkenaan butiran akaun seorang pelanggan Maxis.”

Maxis turut menjelaskan bahawa semua akses kepada akaun pelanggan direkodkan dan dipantau sepenuhnya.

“Hasil siasatan kami menunjukkan bahawa ini merupakan insiden terpencil yang melibatkan tindakan tanpa kebenaran. Tiada sebarang petunjuk bahawa insiden ini melibatkan pelanggan lain secara lebih meluas.”

Dalam kenyataan sama, syarikat itu memaklumkan individu yang dikaitkan dengan insiden berkenaan telah dikenal pasti dan tindakan segera sedang diambil.

“Kami telah mengenal pasti individu yang dikaitkan dengan insiden ini dan sedang mengambil tindakan segera, termasuk tindakan undang-undang.”

Maxis turut memohon maaf kepada Khairul Aming serta menegaskan komitmen syarikat dalam melindungi privasi pelanggan.

“Kami memohon maaf atas insiden ini. Kami kekal komited terhadap privasi data dan perlindungan data peribadi.”

Insiden ini sekali lagi mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan data peribadi pelanggan, khususnya maklumat sensitif yang hanya sepatutnya boleh diakses oleh pihak yang diberi kuasa.