Doktor dan jururawat di Hospital Syahid Al-Aqsa di Gaza dilaporkan kehabisan kain kafan di tengah-tengah situasi kematian yang semakin meningkat.

Mayat difahamkan telah dilonggokkan di halaman luar hospital, ada yang sempurna, ada yang tidak. Manakala saudara-mara berdoa dan rebah ke lantai sambil meraung kesedihan.

HYPE
‘Adakah Raya Masih Sama?’ – Iklan Raya Ini Kongsi Persoalan Menantu Bila Pertama Kali Beraya Dengan Mentua!
Baca lagi →

Baca Juga:

Situasi di dalam hospital pula lebih sibuk dari biasa, doktor bergelut untuk memberi rawatan kepada mangsa yang cedera dan berusaha menyelamatkan mereka yang parah dengan bekalan ubat yang semakin berkurangan.

Seorang wartawan Arab BBC menjadi saksi bagaimana hospital tidak putus didatangi dengan mayat, manakala doktor bergegas dari satu pesakit ke pesakit yang lain.

“Kami sudah berada di sini sejak subuh dan mayat telah memenuhi kawasan hospital. Peti sejuk di bilik mayat penuh, begitu juga di dalam bangunan hospital dan di luar bangunan,” kata seorang kakitangan.

“Kami kehabisan kain kafan untuk menutup mayat kerana jumlahnya sangat banyak. Semua mayat tiba tidak lengkap. Kami tidak dapat mengenal pasti mereka kerana ada yang telah hancur.”

Dia menyifatkan keadaan itu sebagai “tidak boleh ditanggung”, sambil menambah, “Walaupun kita telah melihat banyak perkara, ini adalah pemandangan yang tidak pernah kita lihat sebelum ini.”

Manakala di Hospital al-Quds, bom dilaporkan telah hinggap ke salah sebuah bangunan berhampiran hospital semasa sekumpulan 23 doktor dan jururawat merawat lebih 500 orang.

Pesakit dan orang awam yang berlindung di hospital hidup dalam ketakutan, kata doktor yang tidak mahu dinamakan demi keselamatannya.

Di tengah-tengah situasi yang disifatkannya sebagai “malapetaka,” doktor terpaksa memutuskan siapa yang perlu dirawat terlebih dahulu. Selebihnya pula perlu menunggu.

 

Sumber