Malayan Banking Bhd (Maybank) merancang untuk memperkenalkan aplikasi mudah alih baharu di bawah strategi lima tahun ROAR30 bagi memperkukuh jejak digitalnya di peringkat serantau.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Khairussaleh Ramli, menyatakan bahawa aplikasi baharu tersebut berpotensi menggantikan MAE, iaitu aplikasi mudah alih sedia ada Maybank, petik New Straits Times.
Baca Juga:
“Kami mahu memperkenalkan aplikasi baharu untuk meningkatkan keupayaan kami dan berpotensi menggantikan MAE. MAE adalah aplikasi yang baik, namun kami berpendapat terdapat keupayaan tertentu yang perlu kami laksanakan,” katanya semasa taklimat media mengenai ROAR30.
Khairussaleh berkata bank tersebut telah mengenal pasti beberapa aspek untuk penambahbaikan hasil daripada penglibatan dengan pelanggan individu.
Aplikasi baharu ini bertujuan untuk berfungsi sebagai platform tunggal merentasi pelbagai negara di rantau ini, dengan Indonesia dijangka menjadi pasaran pertama untuk pelancarannya.
“Indonesia mungkin menjadi pasaran pertama untuk kami melancarkannya, bagi menguasai perniagaan dan menawarkan penyelesaian yang kami percaya mampu bersaing di Malaysia,” tambahnya lagi.
Beliau menyatakan bahawa butiran terperinci mengenai aplikasi baharu tersebut akan diumumkan tidak lama lagi, namun tidak memberikan garis masa yang khusus.
ROAR30 merupakan strategi lima tahun baharu Maybank sehingga 2030, yang berpaksikan tiga tonggak utama; tawaran berasaskan nilai, membina perniagaan mengikut skala, serta memperkasakan asas bagi memastikan bank tersebut kalis masa hadapan.
