Nama Mazlan Wahid tidak perlu diperkenalkan lagi dalam kancah bola sepak negara terutamanya buat para penyokong pasukan Sarawak.

Memulakan karier bola sepak bersama Melaka yang merupakan negeri kelahirannya bermula tahun 1989, Mazlan kemudiannya telah berjaya mencuri tumpuan jurulatih Sarawak, Alan Vest susulan ketangkasan dipamerkannya.

Baca Juga:

Sewaktu bersama skuad Piala Emas Raja-Raja, Mazlan telah dihubungi oleh Alan Vest dan Abdullah Mail yang terus menyatakan minat untuk membawa beliau ke Sarawak.

Rundingan melibatkan kedua-dua pihak berjalan dengan lancar sekali gus Mazlan menandatangani kontrak untuk menyarung jersi Sarawak pada musim 1992.

Karier cemerlang bersama Sarawak

Kehadirannya di Sarawak nyata begitu disenangi oleh rakan sepasukan seperti Abdul Jalil Rambli, Roslan Ismail, David Evans, Dahlan Matusin, Ibrahim Mantali dan ramai lagi.

Tidak berdepan masalah besar untuk mempamerkan kemampuannya, Mazlan membantu Sarawak meraih gelaran juara Piala FA 1992 setelah berjaya menewaskan Kuala Lumpur yang dibarisi pemain bintang pada perlawanan akhir yang berlangsung di Kuching.

Antara kejayaan lain yang dikecapi Mazlan ketika bersama Sarawak adalah menjuarai Liga Perdana 1997 dan Piala Sumbangsih 1998 apabila berjaya menewaskan Selangor.

Kejayaan menjuarai Liga Perdana 1997 juga turut dibantu dengan kekebalan benteng pertahanan serta ketangkasan aksi yang dipamerkan Mazlan Wahid apabila Sarawak hanya dibolosi 23 gol dalam satu musim. Jumlah bolos paling sedikit yang dicatatkan berbanding 14 pasukan yang lain.

Prestasi baik Mazlan telah membuatkan beliau dipilih untuk membarisi skuad negara bagi menghadapi saingan Sukan Asia 1994 di Hiroshima, Jepun. Mazlan dipanggil bersama-sama Khairul Azman Muhammad.

Mazlan bersama Mat Zan Mat Aris membimbing Imigresen FC. Kredit Foto: Imigresen Football Club

Rahsia kehebatan Mazlan Wahid

Ketika dihubungi wakil Vocket beberapa tahun lalu, Mazlan mengakui tiada rahsia disebalik karier cemerlang dinikmatinya sewaktu bersama Sarawak.

Beliau hanya memberikan arahan kepada rakan sepasukan terutamanya di jentera pertahanan untuk mengekang asakan lawan dengan baik.

Sebagai penjaga gol sudah pastinya melihat mempunyai sudut pandang yang lebih luas untuk mengingatkan rakan sepasukannya apatah lagi Sarawak pada ketika itu mempunyai barisan pemain pertahanan yang cukup kental.

Pemain-pemain seperti Roslan, Zaidel Sakup, Dahlan Matusin dan Ahmad Fairuz Yunus disifatkan oleh Mazlan sebagai kombinasi mantap di jentera pertahanan Sarawak.

Berbekalkan kepada barisan pemain dimiliki di jentera pertahanan, ia meningkatkan lagi keyakinan buat Mazlan untuk mengemudi gawangnya dengan cukup baik.

Penyokong Sarawak sentiasa memberikan sokongan penuh

Mazlan yang kini berusia 56 tahun menyifatkan sokongan penuh dari para penyokong Sarawak ketika beraksi disana turut membantu prestasi baik yang ditampilkannya.

”Penyokong Sarawak juga menjadi salah satu kunci kepada kekuatan saya apabila mereka sentiasa memberikan sokongan penuh buat saya di waktu sukar ataupun senang.”

Mazlan mencurahkan bakti selama sembilan tahun di Sarawak dan akhirnya berhijrah ke Kedah pada musim 2002.

Curah pengalaman yang dimiliki kepada penjaga gol

Pengalaman yang dimiliki Mazlan sebagai salah seorang penjaga gol terbaik di Malaysia pada zamannya tidak disia-siakan begitu sahaja apabila anak kelahiran Melaka ini menjadi jurulatih penjaga gol sebaik sahaja menamatkan kariernya di MBPJ Selangor.

Selepas itu, Mazlan pernah berkhidmat selaku jurulatih penjaga gol skuad kebangsaan pada tahun 2008, PDRM, Sekolah Sukan Bukit Jalil, Harimau Muda, Melaka United dan kini bersama Imigresen FC dalam saingan Liga M3.