Kylian Mbappe memberikan penghormatan penuh emosi kepada Didier Deschamps selepas skuad Les Blues menamatkan kempen Piala Dunia 2026 di kedudukan keempat selepas tunduk 4-6 kepada England awal pagi tadi.
Kapten itu tanpa berselindung mengakui pasukan tersebut gagal memberikan hadiah perpisahan yang sepatutnya kepada Deschamps susulan pencapaian pasukan tersebut pada edisi kali ini.
Mbappe mengambil tanggungjawab terhadap kegagalan Perancis untuk melangkah ke final Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut, sambil mengakui para pemain telah mengecewakan jurulatih yang bakal meninggalkan pasukan itu.

Mbappe Kesal
Penyerang berbisa berusia 27 tahun itu yang membuat penampilan sulung bersama skuad kebangsaan Perancis di bawah kendalian Deschamps pada 2017, meluahkan rasa kesalnya di laman Istagram peribadi miliknya kerana barisan pemain gagal memberikan penutup yang lebih gemilang buat era kepimpinan ikonik jurulatih tersebut.
“Hari ini adalah tarian terakhir anda [merujuk kepada Deschamps]. Anda yang telah memberikan begitu banyak kepada kami. Kami sepatutnya memberikan anda pengakhiran yang lebih baik, tetapi kami gagal.”
“Amat sukar untuk menggambarkan dengan kata-kata segala yang telah anda sumbangkan sepanjang 14 tahun ini kerana anda merupakan individu penting dalam kebangkitan semula pasukan ini.”

“Tidak semua orang sentiasa tahu menghargai kehebatan anda, tetapi masa dan sejarah akan menentukan nilainya.”
“Terima kasih kerana memberikan saya peluang dan kepercayaan untuk mewakili negara saya di pentas terbesar dunia selama bertahun-tahun,” ujar Mbappe lagi.
Deschamps, 57 tahun telah mengemudi salah satu era paling berjaya dalam sejarah bola sepak Perancis, termasuk membawa pasukan itu menjulang trofi Piala Dunia 2018 serta memenangi kejuaraan Liga Negara-Negara UEFA.
Namun, di sebalik kejayaan tersebut, beliau sering menerima kritikan daripada sebahagian pihak dalam media Perancis berhubung pendekatan taktikalnya yang dianggap lebih lebih mementingkan keputusan berbanding bermain dengan gaya yang menghiburkan atau dominan.