Pernah terfikir tak jika berlaku kecemasan atau bencana di kawasan tempat tinggal kita? Dalam situasi tertentu, setiap saat sangat berharga dan maklumat yang diterima lebih awal boleh membantu kita mengambil tindakan dengan lebih cepat.

Sebab itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini sedang melaksanakan Sistem Amaran Awal atau Early Warning System (EWS) secara berfasa bagi membolehkan orang ramai menerima amaran kecemasan terus melalui telefon mudah alih.

Bagaimanapun, sebelum sistem ini dilaksanakan dengan lebih meluas, orang ramai disarankan untuk mengemas kini sistem operasi telefon masing-masing sebagai persediaan menerima amaran tersebut.

Tak perlu download aplikasi atau daftar apa-apa

Menariknya, sistem ini membolehkan amaran kecemasan dihantar terus ke telefon pengguna yang berada di kawasan terjejas menerusi teknologi Cell Broadcast System (CBS).

Maksudnya, pengguna tak perlu bersusah payah memuat turun aplikasi tambahan, membuat pendaftaran atau melanggan sebarang perkhidmatan khusus untuk menerima amaran ini.

Sebaik sahaja sistem ini beroperasi, amaran boleh disampaikan terus kepada peranti yang menyokong teknologi tersebut berdasarkan kawasan yang terlibat.

Ini senarai minimum telefon yang menyokong EWS

Untuk memastikan telefon masing-masing bersedia menerima amaran EWS, MCMC turut berkongsi keperluan minimum sistem operasi bagi peranti yang dijangka menyokong fungsi ini, tertakluk kepada pengesahan teknikal akhir.

Antaranya:

1. Apple iPhone: iPhone 11 dan model lebih baharu dengan iOS 27.2 atau versi terkini.
2. Android: Telefon yang menggunakan Android 12 atau versi terkini.
3. Huawei: Telefon yang menggunakan EMUI 16 atau versi terkini.

Selain itu, pengguna turut disarankan untuk memasang kemas kini perisian terkini yang tersedia, memulakan semula telefon selepas proses kemas kini dan memastikan tetapan Amaran Kecemasan diaktifkan sekiranya fungsi tersebut tersedia pada peranti masing-masing.

Ujian teknikal sudah dijalankan, pelaksanaan secara berfasa

MCMC Minta Orang Ramai Update Telefon, Ini Persediaan Untuk Terima Amaran Kecemasan EWS
Sesi taklimat MCMC bersama Ketua-Ketua Pengarang dan wakil media berhubung pelaksanaan Sistem Amaran Awal (EWS) pada 19 November 2026.

Untuk makluman, MCMC telah mengadakan sesi taklimat khas bersama Ketua-Ketua Pengarang media pada 19 November 2026 bagi memperkenalkan sistem EWS, termasuk mekanisme penyampaian amaran serta peranan media dalam meningkatkan kesedaran masyarakat.

Sesi tersebut turut disertai demonstrasi menerusi ujian teknikal dalaman yang dijalankan di bangunan MCMC, Cyberjaya.

Bagaimanapun, MCMC menjelaskan bahawa aktiviti pada 19 November ini hanyalah ujian teknikal dalaman untuk menilai dan menambah baik sistem sebelum pelaksanaannya diperluaskan. Ujian pada skala lebih besar akan dijalankan secara berfasa.

Pelaksanaan EWS ini turut melibatkan kerjasama MCMC, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), agensi teknikal berkaitan serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi.

Jadi, sementara menunggu pelaksanaan sistem ini diperluaskan, apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah memastikan telefon sentiasa dikemas kini dan peka terhadap maklumat rasmi.

Paling penting, sekiranya menerima amaran kecemasan kelak, orang ramai diingatkan supaya tidak mengabaikannya dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa.

EWS bakal melengkapi saluran amaran sedia ada sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keselamatan serta kesiapsiagaan masyarakat ketika berdepan bencana.