Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) sedang mengambil langkah serta-merta untuk membatalkan status Malaysia Digital NSO Malaysia Sdn Bhd, yang mengendalikan Network School di Forest City, Iskandar Puteri, Johor.
MDEC dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil berikutan keputusan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang membatalkan lesen perniagaan NSO, petik Free Malaysia Today.
Syarat-syarat yang ditetapkan bagi status Malaysia Digital menghendaki sesebuah syarikat mendapatkan permit dan lesen yang berkaitan untuk menjalankan aktiviti yang diluluskan, serta mematuhi semua peraturan dan keperluan pelesenan yang terpakai, kata MDEC.
“Pembatalan lesen perniagaan NSO melanggar keperluan ini.
“Sehubungan itu, MDEC mengambil tindakan serta-merta untuk membatalkan status Malaysia Digital NSO,” katanya.
MDEC berkata ia mengalu-alukan pelaburan digital berkualiti tinggi ke Malaysia, namun pematuhan sepenuhnya terhadap undang-undang dan peraturan Malaysia tidak boleh dikompromi.
MBIP telah mengeluarkan notis kepada NSO untuk menghentikan operasi perniagaan berkuat kuasa 22 Julai, berikutan ketidakpatuhan terhadap syarat pelesenan dan penggunaan premis di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan tersebut.
Sebelum ini, tular dakwaan di media sosial bahawa Network School mempunyai kaitan dengan agenda Israel untuk bertapak di Malaysia melalui pelaburan berkaitan mata wang kripto.