Sejak nilai matawang Ringgit Malaysia semakin mengukuh, negara serantau mula membahaskan bagaimana Malaysia mampu mencapai prestasi yang hebat itu.
Terkini, media Indonesia dari CNBC telah membuat satu kajian dalam mengupas faktor disebalik kekuatan mata wang Malaysia.
CNBC Indonesia mendakwa negara ini sebenarnya mempunyai sebanyak 3 ‘senjata rahsia’ yang telah meningkatkan nilai ringgit, sekaligus menjadikan matawang Malaysia antara yang terbaik di Asia setakat 2025.

Berdasarkan laporan itu, kedudukan matawang Malaysia semakin kukuh pada ketika ini adalah disebabkan oleh sokongan eksport yang kuat dengan lebihan yang berterusan, kemasukan pelaburan asing langsung (FDI) yang mencatat rekod baharu yang luar biasa serta tahap produktiviti tenaga kerja tempatan yang dianggap antara terbaik di rantau ini.
Gabungan faktor-faktor ini dilihat semakin mengukuhkan asas ekonomi negara, sekali gus membantu mengangkat nilai ringgit.
Menurut laporan itu lagi, momentum positif ini datang daripada asas ekonomi Malaysia yang stabil dan terus mendapat kepercayaan pelabur.
Tiga faktor inilah yang dianggap ‘senjata rahsia’ oleh CNBC Indonesia dan menariknya, laporan itu menambah bahawa Malaysia bukan sekadar stabil, tetapi semakin dilihat sebagai negara paling efisien dari segi produktiviti tenaga kerja di Asia Tenggara.
Data Bank Dunia yang dipetik portal itu menunjukkan Malaysia mencatat skor produktiviti 10.13 yang mana tertinggi di Asia Tenggara, malah mengatasi China, Thailand, Filipina dan Indonesia yang berada pada 9.04.
Angka ini menggambarkan kemampuan pekerja Malaysia menghasilkan lebih banyak output setiap jam, serta menandakan tahap kecekapan operasi yang lebih mantap berbanding negara jiran.
Dengan prestasi seperti ini, laporan itu menyatakan tidak hairanlah Malaysia terus menjadi pilihan utama pelabur asing.
Setakat hari ini, kadar tukaran terkini ialah 1 RM (MYR) ≈ 4,044 Rupiah IDR.