Media Prima Berhad (Media Prima), kumpulan media bersepadu terkemuka di Malaysia, telah dilantik sebagai Rakan Media Rasmi bagi kejohanan PPA Asia 1000, Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026. Kerjasama strategik bersama United Pickleball Association Asia (UPA Asia) ini bertujuan untuk membawa sukan pickleball profesional bertaraf dunia lebih dekat kepada penonton di Malaysia.
PPA Tour Asia, yang dikendalikan oleh UPA Asia, merupakan siri jelajah pickleball profesional dan amatir utama di Asia. Kejohanan ini menghimpunkan bintang antarabangsa, bakat terkemuka Asia, serta pemain bertaraf serantau.
Bermula tahun 2026, acara PPA Tour Asia turut menyumbang kepada Kedudukan Pickleball Dunia (World Pickleball Rankings), sekali gus membuka laluan buat pemain di Asia untuk bersaing di pentas profesional yang lebih luas.
Sebagai salah satu lokasi utama dalam kalendar PPA Tour Asia 2026, Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026 bakal berlangsung dari 9 hingga 13 September 2026 di The Hood, Kuala Lumpur.
Acara selama lima hari ini bakal menampilkan aksi sukan pickleball profesional daripada barisan pemain terkemuka antarabangsa dan tempatan.
Antara pemain awal yang disahkan penyertaannya termasuklah Gabriel Tardio dari Bolivia (kini berada pada kedudukan No. 2 Dunia Lelaki) dan Chao Yi Wang dari Chinese Taipei (kini pada kedudukan No. 11 Dunia Wanita).
Malaysia pula akan diwakili oleh pemain tempatan pilihan seperti Jimmy Liong Kai Long, Syed Uzair Sufi yang kerap beraksi di litar serantau, serta bakat muda Timothy Foo yang bakal berentap menentang pemain terbaik dunia di tanah air sendiri.
Maklumat lanjut mengenai penyertaan pemain antarabangsa dan tempatan yang lain akan diumumkan menjelang tarikh kejohanan.
Menerusi kerjasama ini, Media Prima akan memanfaatkan ekosistem medianya yang bersepadu merangkumi Media Prima Content & Television Networks, REV Media Group, Media Prima Audio, The New Straits Times Press (NSTP), Tonton, dan BigTree (DOOH) bagi memupuk kesedaran serta menyemarakkan keterujaan terhadap kejohanan ini, sekali gus memperkenalkan sukan piklebol profesional kepada khalayak umum.
Selain promosi media, kerjasama ini turut meneroka pelbagai peluang dalam pembangunan kandungan, penstriman langsung, penjualan tiket, perdagangan, dan kolaborasi jenama.
Langkah ini membuktikan keupayaan ekosistem bersepadu Media Prima dalam menghubungkan penglibatan penonton dengan peluang komersial baharu bagi sukan yang semakin berkembang ini.
Sebagai sebahagian daripada kolaborasi ini, penonton di Malaysia boleh menyaksikan siaran langsung PPA Asia 1000, Leapmotor Kuala Lumpur Cup 2026 menerusi platform Tonton. Kemudahan ini membolehkan peminat di seluruh negara menikmati pengalaman kejohanan tersebut walaupun tidak berada di lokasi perlawanan.
Kerjasama ini mencerminkan aspirasi bersama antara Media Prima dan UPA Asia untuk menyokong perkembangan sukan piklebol profesional di Malaysia serta memupuk minat penonton baharu menerusi pelbagai kandungan menarik, pengalaman langsung, dan penglibatan digital.
Maklumat Kejohanan:
Tarikh: 9 – 13 September 2026
Lokasi: The Hood, Kuala Lumpur
Pembelian Tiket: https://bit.ly/4fYNuwK
Tontonan: Peminat boleh menyaksikan perlawanan secara langsung di The Hood atau menerusi penstriman di platform TONTON.