Pelakon dan model terkenal, Meerqeen menyatakan bahawa mengidamkan trofi Oscar dalam kariernya.

Meerqeen sudah memenangi pelbagai anugerah di dalam kariernya sebagai pelakon. Antaranya, anugerah Aktor TV Popular dan Couple TV Popular menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH35) yang lalu.

Namun pelakon itu tidak menganggap anugerah sebagai kayu pengukur kepada kejayaannya sebagai seorang pelakon. Kecuali dia mendapat Oscar yang dianggap anugerah yang paling ‘legit’.

Oleh sebab itu Meerqeen memberitahu peminatnya agar tidak perlu mengundinya dalam mana mana anugerah dia tercalon. Kerana paling penting adalah dia percaya kepada rezeki. Lagipun sebelum ini dia turut berjaya menempa namanya di persada seni tanah air tanpa memenangi sebarang anugerah.

Meerqeen tidak berselindung menyatakan bahawa dia berimpian untuk memenangi Oscar. Walaupun kedengaran agak kelakar, namun dia yakin kalau dia benar benar berusaha, dia akan mampu menggenggam trofi tersebut.

Bercakap kepada Astro Awani, Meerqeen menyatakan: “Sejujurnya saya tidak pernah mengharapkan apa-apa penganugerahan pun sebab pencapaian saya bukan pada trofi, pencapaian saya apabila nama saya ada dalam hati peminat.

“Kalau dapat alhamdulillah, jika sebaliknya saya teruskan hidup macam biasa sebab menang trofi bukan ada benda istimewa pun yang jadi dalam diri saya.

“Saya hanya idamkan trofi Oscar, itu impian saya. Saya fikir anugerah itu sahaja yang paling ‘legit’. Mungkin kedengaran kelakar tetapi saya percaya kalau saya kerja keras, tiada yang mustahil untuk genggam trofi tersebut,” katanya kepada portal tersebut.