Ahli perniagaan buruan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, yang telah melarikan diri selama lebih dua tahun, dipercayai kini menjalani kehidupan mewah di Timur Tengah, petik New Straits Times.
Dakwaan itu disokong dengan beberapa gambar dikongsikan kepada New Straits Times. Adlan dirakam bersama beberapa tokoh kenamaan dari Timur Tengah.
Dalam salah satu gambar tersebut, kelihatan potret seorang pemimpin Timur Tengah tergantung di latar belakang.
Menantu kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu kini diburu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan pecah amanah jenayah.

Menurut maklumat yang diperoleh oleh NST, Adlan dipercayai sering keluar masuk ke negara Timur Tengah berkenaan untuk urusan luar negara, termasuk perjalanan ke Thailand bagi bermain golf dan mengunjungi lapang sasar menembak.
SPRM sebelum ini memaklumkan bahawa Adlan kini menetap di sebuah negara yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.
Adlan, 49 tahun, berlepas ke New Zealand pada 17 Mei 2023, tidak lama selepas bapa mertuanya didakwa dengan beberapa pertuduhan rasuah.
Peguamnya, Mansoor Saat, 70 tahun, turut meninggalkan negara empat hari kemudian menuju ke Jakarta, dan sejak itu terus menghilangkan diri.
Mansoor juga berdepan dakwaan pecah amanah jenayah yang berkaitan dengan projek National Enforcement and Registration (Biometrics) System (NERS), yang dibiayai melalui sukuk bernilai RM595 juta.
Projek NERS itu pada asalnya bertujuan meningkatkan keselamatan negara melalui pengumpulan data biometrik. Namun, hasil siasatan mendedahkan bahawa hampir RM50 juta daripada kutipan pas lawatan kerja sementara — dana yang sepatutnya digunakan untuk membayar semula sukuk — telah disalahgunakan.
SPRM mengaitkan Adlan dan Mansoor dengan kes tersebut, yang diklasifikasikan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Sebelum ini, kedua-duanya pernah mengeluarkan kenyataan melalui peguam masing-masing menafikan bahawa mereka melarikan diri untuk mengelak daripada pendakwaan.