Mahkamah Sesyen Johor Bharu menjatuhkan hukuman denda RM3,000 ke atas seorang lelaki yang juga merupakan seorang peniaga gerai.
Ianya selepas lelaki tersebut mengaku bersalah membuat kenyataan di media sosial yang menghina Yang di-Pertuan Agong di aplikasi X, Selasa lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, mengesahkan bahawa polis segera menangkap seorang lelaki berusia 55 tahun di kawasan bandaraya Johor Bharu selepas menerima laporan tentang kesalahan yang melibatkan 3R.
Polis turut merampas telefon bimbit yang digunakan lelaki tersebut yang dipercayai digunakannya untuk memuat naik status di X untuk menghina Agong.
Dipetik dari laman BH Online, Kumar berkata: “Polis Johor mengesahkan menerima laporan seterusnya menyiasat kes hantaran berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan oleh pemilik serta pengendali akaun X Bitz @ zatocent.
“Hantaran itu dipercayai dibuat pada 29 Disember lalu.”
The Vocket cuba mengakses kepada pautan yang diberikan oleh polis tentang status X yang dibuat lelaki itu berkaitan kes hina Agong itu, namun sudah dipadamkan daripada X.
Tertuduh kemudian ditahan pada 30 Disember lalu. Dan kertas siasatan dirujuk kepada ke Pejabat Peguam Negara dan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor untuk mendapatkan arahan pertuduhan – tegas polis lagi.
Tertuduh disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan penerbitan menghasut. Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-keduanya sekali.
Tertuduh kemudian mengaku bersalah terhadap status di X itu yang hina Agong. Tertuduh meminta hukuman diringankan kerana dia hanya bekerja sebagai penjaja makanan tepi jalan dan terpaksa menanggung keluarga termasuk ibunya yang sedang uzur.
HINA AGONG | Seorang peniaga gerai makanan ditahan kerana dipercayai membuat hantaran menghina Yang di-Pertuan Agong di aplikasi X, Selasa lalu.#BuletinTV3 #hinaagong #pdrm #aplikasiX pic.twitter.com/Xhjb0Qsn1q
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 8, 2025
Anaknya juga disahkan mengidap autisme. Selain itu tertuduh menyatakan bahawa ayat yang dia tulis itu bukan ayat yang dia karang, tetapi disalin dan tampal (copy & paste) daripada orang lain.
Dipetik dari sumber Awani, dia berkata: “Saya mengaku salah dan terkhilaf selain tidak sedar kesalahan dilakukan ini menyentuh 3R.
“Hantaran itu bukanlah ayat karangan sendiri kerana saya hanya ‘repost’ selepas ‘copy paste’ ayat berkenaan.”
Dia akui tidak sedar akan kesan perbuatannya itu dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi di masa akan datang.
Hakim kemudian menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap tertuduh. Sekiaranya dia gagal membayarnya, dia akan dipenjara tambahan selama enam bulan.