Kecoh baru-baru ini apabila tular sebuah video pendek yang memaparkan seorang penunggang motosikal Yamaha 125Z merempuh sekatan jalan raya sekaligus melanggar seorang penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga cedera.

Terbaharu, Mahkamah Majistret menetapkan denda sebanyak RM5,000 buat penunggang berkenaan.

Baca Juga:

Majistret Uthman Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Khairul Azwa Azizi, 25, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan jika tertuduh gagal membayarnya.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja menghalang tugas penjawat awam iaitu anggota penguat kuasa JPJ, Mohd Nurhakim Mohd Razif, 29, daripada menjalankan fungsi amnya dalam operasi pasukan.

Kesalahan itu dilakukan pada 17 September lalu, kira-kira 11 pagi di Kilometer 28 Lebuhraya Seremban-Port Dickson.

Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda boleh sampai RM10,000 atau kedua-duanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum kerana perlu menanggung seorang anak dan isteri yang sedang mengandung selain diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Izzaty Mohd Zainal mohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh selain mampu memberi pengajaran kepada orang awam supaya tidak menghalang tugas penjawat awam.

Selain itu katanya, mahkamah perlu mengambil kira kecederaan dialami anggota JPJ terbabit.

Media sebelum ini melaporkan tular video memaparkan anggota penguat kuasa JPJ terpelanting selepas dirempuh suspek yang dipercayai cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

JPJ dalam kenyataannya berkata, kejadian itu mengakibatkan anggota JPJ terbabit mengalami cedera pada otot leher, kepala serta bengkak pada tangan dan kaki, namun dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Port Dickson.