Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan penggunaan istilah Muslim Choice atau seumpamanya yang diperkenalkan mana-mana pihak, bukan perakuan atau tanda halal yang diiktiraf pihak berkuasa.
Ketua Pengarah JAKIM, Sirajuddin Suhaimee, berkata istilah diperkenalkan Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) itu boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai status halal sesuatu produk atau premis, petik Free Malaysia Today.
Baca Juga:
- Dua Cawangan Luckin Coffee Dapat Pensijilan Halal JAKIM, Tawar Promosi RM3.99 Akhir Bulan Ini

- Jakim Arah Tarik Balik 11 Makanan Indonesia Kerana Ada Unsur Babi, Produk Apa?

- JAKIM Buat Laporan Terhadap Individu Hina Agama Islam

Menurut beliau, istilah itu didakwa dibuat pihak terbabit untuk memberi keyakinan kepada pengguna Muslim bahawa produk atau premis yang diiktiraf pertubuhan tersebut selari prinsip Islam — berkualiti, bersih dan selamat.
“Kita menasihati semua pihak supaya tidak menggunakan atau mempamerkan sebarang bentuk logo, simbol, istilah, kenyataan atau ungkapan yang boleh memberi tanggapan halal tanpa pengesahan daripada JAKIM atau majlis agama islam negeri (MAIN), mahupun jabatan agama islam negeri (JAIN).
“Berdasarkan peruntukan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, hanya JAKIM dan MAIN atau JAIN diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta memberi kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia kepada pihak diperakukan,” katanya dalam kenyataan semalam, menurut Harian Metro.
Tambah Sirajuddin lagi, sebarang penggunaan logo, simbol, istilah, kenyataan, atau ungkapan yang membawa maksud halal dan boleh dimakan umat Islam yang dikeluarkan mana-mana pihak selain JAKIM atau MAIN/JAIN, adalah tidak sah serta menyalahi peraturan.
“Ia juga boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna Muslim,” katanya.