Menteri Belia dan Sukan Indonesia, Dito Ariotedjo mencadangkan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memberikan kemenangan percuma kepada skuad Garuda jika Bahrain enggan beraksi pada perlawanan Kelayakan Kelayakan Piala Dunia 2026 di Jakarta.

Memetik laporan CNN Indonesia, beliau berkata Bahrain sepatutnya dihukum dan kalah dengan status ‘Walkover’ atau WO sekiranya mereka tidak memenuhi jadual perlawanan yang ditetapkan.

Baca Juga:

“Itu seharusnya sudah jadi kepastian [kalah WO]. Kalau mereka sampai [Bahrain] bikin-bikin alasan, seharusnya kita menang WO ya,” katanya.

Bahrain dijadualkan menentang Indonesia di tempat lawan pada 25 Mac tahun depan dalam pusingan ketiga kelayakan Asia untuk Piala Dunia 2026.

Namun, Persatuan Bolasepak Bahrain (BFA) memohon venue perlawanan itu dipindahkan keluar dari Indonesia untuk menjaga keselamatan pasukan.

Pemain Bahrain ‘terkena hujan makian, fitnah, ancaman dan serangan siber’ secara dalam talian, dakwa BFA.

Bagaimanapun, Dito Ariotedjo memberi jaminan rombongan pasukan Bahrain selamat ketika berada di Indonesia. Beliau berpendapat, permintaan Bahrain adalah taktik untuk mendapatkan kelebihan tambahan dari segi venue.

“Pasti [ada jaminan keamanan].  Kemarin Ketua PSSI sudah memberi reaksi dan sudah menyampaikan kepada saya bahawa keamanan di Indonesia sangat terjamin,” ujarnya.

Kedua-dua pasukan bertemu minggu lalu dan seri 2-2, dengan Bahrain menyamakan kedudukan pada minit kesembilan waktu tambahan.

Pegawai dan penyokong Indonesia kemudian marah susulan waktu tambahan yang terlalu lama serta pengadil dilihat berat sebelah ke negara Arab.