Sejak Ahad lalu, sebanyak tiga bot yang sarat membawa lebih 500 pelarian Rohingya tiba di perairan paling barat wilayah Aceh.
Bagaimanapun kehadiran mereka membuatkan penduduk tempatan berasa kurang senang dan menghalang kapal-kapal tersebut daripada berlabuh di tepi pantai mereka, petik Sinar Harian.
Baca Juga:
- 250 Pelarian Rohingya Cuba Mendarat Di Indonesia Tetapi Dihalau Pulang Oleh Penduduk Setempat
- Masyarakat Rohingya Pulau Pinang Dihalau Keluar Oleh Penduduk Kampung Menjelang Hari Raya
- Peguam Anggap Etnik Rohingya Beban, Tak Terkejut Jika Mereka ‘Demand’ Hak Rakyat Malaysia
Ketua Perhubungan Awam Polis Aceh, Joko Krisdiyanto berkata, penduduk mempunyai alasan untuk mengusir pelarian Rohingya kerana pengalaman menerima golongan itu tidak lama dahulu.
Sikap mengabaikan kebersihan dan sukar diatur menjadi antara punca sebahagian besar penduduk Aceh menolak kehadiran pelarian Rohingya.
“Penduduk sudah muak dan serik dengan tingkah laku mereka. Pelarian Rohingya bukan sahaja tidak menghormati adab penduduk tempatan, malah Islam yang mereka amalkan bertentangan dengan penerapan hukum Islam di Aceh.
“Selain tiada tempat untuk menampung mereka, pelarian Rohingya juga kerap melarikan diri dan tidak tahu menjaga kebersihan,” ujar Joko.
Pada Disember lalu, penduduk di Desa Ulee Blang Mee di wilayah Blang Mangat membantah kebanjiran pelarian Rohingya di hadapan bekas pejabat Imigresen Bandar Lhokseumawe.
Penduduk kampung itu menggesa Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) memindahkan 229 pelarian Rohingya yang ditempatkan sementara di pejabat berkenaan.
Difahamkan, Indonesia salah satu negara yang tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967.
Kementerian Luar Indonesia sebelum ini menegaskan ia tidak mempunyai kewajipan atau kapasiti untuk mencari penyelesaian berhubung penempatan semula golongan pelarian termasuk etnik Rohingya.